IPOH: Tempoh tahanan reman suspek kes dera bayi perempuan berusia enam bulan sehingga mati di Taman Tawas Indah di sini minggu lalu, disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, permohonan reman itu dibuat selepas tempoh reman selama tujuh hari ke atas wanita berusia 51 tahun itu berakhir hari ini.
Katanya, lanjutan tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan ke atas suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan tahanan reman ke atas suspek yang juga pengasuh bayi itu dibenarkan selama tujuh hari lagi sehingga Isnin depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sabtu lalu, seorang bayi perempuan dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dua hari dalam keadaan koma.
Bayi itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.51 petang pada Jumaat selepas dihantar pengasuhnya dengan menaiki ambulans pada Rabu.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi terbabit disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.
Berdasarkan siasatan, suspek menjaga bayi terbabit sepenuh masa sejak Mac lalu kerana kedua ibu bapa mangsa bekerja di Australia. – UTUSAN