ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus didesak untuk menjawab beberapa soalan berkaitan unsur nadir bumi (REE) di Sik kerana beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah didakwa sememangnya tahu kawasan dimiliki mereka merupakan lokasi berlaku kecurian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mendedahkan perkara itu kerana Menteri Besar sering kali memberi jawapan sama iaitu MBI Kedah tidak terlibat dan tiada kena mengena dengan kecurian itu termasuk ketika memberi jawapan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
“Dalam DUN pun Sanusi tepis begitu saja (penglibatan MBI). Malam ini saya nak sebut MBI tahu kompartmen miliknya adalah tempat berlaku kecurian besar-besaran nadir bumi yang dalam pengetahuan dia. Sekurang-kurangnya ada dua fasa tangkapan dan yang pertama melibatkan lebih 50 orang awal tahun ini. Tangkapan pertama tak kurang 380 kampit nadir bumi. Ini lesen teroka apa sampai 380 kampit hampa balun (songlap)? Ini bukan eksplorasi tetapi ini mencuri.
“Saya tak mahu cakap lebih kerana masih lagi kumpul bukti tetapi yang ditangkap itu bukan dituduh mencuri (REE) sebaliknya hanya dikompaun RM5,000 kerana ceroboh hutan simpan. Ada orang tolong bayar pula malah ketika ditangkap ada orang jamin,” katanya ketika berucap pada Jelajah Madani DUN Suka Menanti di sini, malam tadi.
Saifuddin turut bertanya kepada rakyat Kedah sama ada mereka tahu surat ditulis Muhammad Sanusi kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meminta agar dibawa masuk 10 jurutera dan 21 pekerja mahir dari China menggunakan pas lawatan ikhtisas.
Namun katanya, surat itu bercanggah dengan satu lagi surat ditulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI Kedah yang menyatakan bahawa 21 orang terbabit merupakan pekerja am.
“Bila saya tengok surat itu, ada dua nama yang meragukan iaitu So Loi Fat dan Huang Zhiyi. Loi Fat, dialah pengerusi dan dia juga perunding projek. Saya ada minta Sanusi jelaskan kedudukan mereka (kerana) sebelum ini beliau petah jawab tetapi yang ini senyap sampai sekarang termasuk di laman media sosialnya, langsung tak dijawab,” katanya.
Saifuddin mendakwa, kedua-dua individu itu didapati dimasukkan sebagai staf profesional di MBI Kedah yang menimbulkan keraguan berkaitan kepakaran, gaji, skop kerja serta tempoh kontrak ditawarkan kepada mereka.
“Saya tanya sebab Huang Zhiyi ditangkap menceroboh hutan simpan. Hang ambil kerja, tulis surat kepada Menteri Dalam Negeri waktu itu supaya depa diberi pas lawatan ikhtisas sebagai staf profesional untuk bantu usaha eksplorasi nadir bumi dalam kawasan milik MBI.
“Bila depa dapat (masuk), hang letak di MBI dan kena tangkap. Saya nak tanya Sanusi di mana mereka berdua sekarang dan apa sebab 21 warga China itu hang minta bawa masuk hanya untuk buat kerja-kerja seperti dinyatakan dalam surat CEO MBI,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin mendakwa sebahagian 21 rakyat China terbabit memasuki negara ini dengan menggunakan permit pelancongan perubatan.
“Saya nak tanya Sanusi, hospital mana yang bagi sokongan? Saya nak suruh beliau dedahkan kerana kalau saya dedah hilang suspen. Tetapi, saya tahu semua 21 orang itu termasuk nama, nombor pasport, masuk gunakan pas apa, kerja di mana dan bila dia masuk,” katanya. –UTUSAN










