Rayuan sabitan, hukuman penjara Siti Bainun 12 Oktober

Rayuan sabitan, hukuman penjara Siti Bainun 12 Oktober

KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. -UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali terhadap hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Oktober ini.

Mahkamah turut menetapkan pihak perayu memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 27 September ini manakala hujahan responden pada 5 Oktober ini.

Tarikh-tarikh itu ditetapkan pada sesi pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar yang turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas dan peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri hari ini.

Sementara itu, Zilfinaz memberitahu wakil media, petisyen rayuan masih belum diterima dan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 14 September ini.

SITI BAINUN AHD RAZALI

Siti Bainun kini menjalani hukuman penjara 12 tahun serentak bagi kedua-dua kesalahan selepas permohonannya bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman, ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Mei lalu. Hakim Datuk Ahmad Bache menolak permohonan itu selepas berpuas hati tiada keadaan khas atau luar biasa yang mewajarkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman.

Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Siti Bainun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara bagi kesalahan menganiaya Bella. Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak.

Hakim Izralizam Sanusi mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga menetapkan supaya Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, di antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN