Ramai ingkar had laju depan sekolah

Ramai ingkar had laju depan sekolah

MOHAMAD MAWARDI MOHD. ZAM ZAM (kanan) dan Pengetua, Mohd. Sofian Mohd. Aris (tengah) melihat kerja pemantauan trafik di hadapan SMK Sri Lalang, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Warga Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang, dekat sini sentiasa terdedah dengan risiko kemalangan apabila kenderaan yang melalui jalan utama di hadapan sering dipandu laju.

Malah, berdasarkan pemantauan yang dilakukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah tersebut mendapati semua kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan dipandu melebihi had kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) yang ditetapkan.

Justeru, Yang Dipertua PIBG SMK Sri Lalang, Mohamad Mawardi Mohd. Zam Zam memin­ta supaya semua pemandu mematuhi had laju berkenaan, khususnya pada waktu puncak ketika melalui hadapan sekolah yang terletak di Jalan Batu Pahat-Kluang dekat sini.

Menurutnya, kemalangan berlaku hampir setiap minggu sehingga mengakibatkan kecederaan di laluan berkenaan dan mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan keada­an itu bukan sahaja membimbangkan pihak sekolah, malah meresahkan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di situ.

“Hasil pemantauan selama tiga hari, iaitu semasa kehadi­ran pelajar seawal pukul 6.30 hingga 7.30 pagi, 12 tengah hari hingga 1 petang dan 6.30 hingga 7 petang mendapati tiada kenderaan yang mematuhi kadar had laju 30 km/j yang ditetapkan.

“Sama ada motosikal, kereta, van, bas dan lori secara purata kelajuan kenderaan ketika melintasi kawasan sekolah ini antara 61 hingga 138 km/j,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kesimpulannya, para pemandu kereta atau penunggang motosikal membawa kenderaan masing-masing melebihi had laju ditetapkan sama ada pada waktu puncak atau luar waktu puncak, katanya.

Menurutnya, had laju kebangsaan 90 km/j berhampiran zon sekolah kurang sesuai dan turut didapati tiada papan tanda amaran dipasang untuk mengurangkan kelajuan ketika menghampiri zon sekolah.

“Kenderaan yang keluar ma­suk dari sekolah juga sukar melihat dengan jelas kenderaan yang datang berikutan beberapa halangan di kiri kanan jalan.

“Justeru, PIBG sekolah amat mengharapkan supaya pihak berkaitan menjalankan kajian lebih terperinci agar kemala­ngan yang sering berlaku di hadapan sekolah ini dapat diatasi dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN