SUNGAI PETANI: Peluang Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menawan semula Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini dilihat cerah kerana pengundi semakin faham betapa pentingnya kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, hubungan baik melalui Kerajaan Perpaduan sahaja yang dilihat boleh memudahkan sebarang urusan pentadbiran yang secara langsung akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Ke arah itu kita sedang memperkasakan hubungan gabungan Kerajaan Perpaduan sekarang dan berharap rakyat negeri ini memilih PH-BN untuk mentadbir negeri ini agar sealiran dengan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Mana-mana kerajaan negeri yang mahu berjaya mesti mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan dan PRN ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat membuat pilihan memilih Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Adly yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian semasa ditemui ketika melakukan lawatan kerja sempena Program Peduli Veteran (PPV) di Merbok, petang semalam.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, kerjasama baik antara menteri besar, ketua-ketua kementerian di peringkat Persekutuan bahkan dengan Perdana Menteri sendiri akan memudahkan pentadbiran termasuk perancangan pembangunan untuk kemudahan rakyat.
“Sekarang ini hubungan terbabit keruh kerana Menteri Besar Kedah tidak sealiran dari segi politik dan sengaja menyalahkan Kerajaan Persekutuan enggan memberi kerjasama hingga menyukarkan projek pembangunan di negeri ini.
“Saya berharap rakyat Kedah akan membuat pilihan terbaik bagi memudahkan jalinan kerjasama ini berlaku dan seterusnya membolehkan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan mudah,” katanya.
Sementara itu, Adly berkata, PPV bukan sahaja bertujuan melawat veteran tentera yang sakit, kurang upaya atau dihimpit kesusahan tetapi turut mengunjungi mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan selepas diberi bimbingan di bawah kategori Usahawan Veteran.
Beliau turut berharap seramai 100,000 bekas anggota tentera di seluruh negara mendaftar menjadi ahli dalam mana-mana persatuan bekas veteran untuk memudahkan pihaknya menyalurkan bantuan mengikut keperluan masing-masing. –UTUSAN