PETALING JAYA: Rakyat Malaysia kini bijak menilai wajah sebenar kepemimpinan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sering berbeza pendirian di samping tidak menyebelahi kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam menguruskan negara ini.
Setiausaha Politik Ahli Parlimen Sungai Buloh, Aidi Amin Yazid berkata, beliau bersimpati dengan tindak-tanduk Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan kepemimpinannya kerana asyik memandang remeh dan tidak menerima usaha sedang dilakukan Kerajaan Perpaduan selama ini.
Katanya, tuduhan liar lanjut terhadap integriti Perdana Menteri hanya akan membuatkan Ahli Parlimen Muar itu kelihatan sebagai seseorang menentang perubahan.
“Justeru beliau dinasihatkan mengelakkan daripada membuat kenyataan menentang kebebasan kehakiman sedangkan dia sama menjalani perbicaraan rasuah.
“Negara telah melalui perjalanan getir ketidakstabilan politik sejak kebelakangan ini berpunca daripada kelicikan dan penipuan ahli politik yang mementingkan diri sendiri dan korup yang sanggup mengorbankan masa depan negara demi kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Muda berpendirian Akta Hasutan tidak patut digunakan untuk menahan dan mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini.
Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd. Hadi berkata, ini kerana Malaysia mempunyai undang-undang lain yang boleh digunakan.
Mengulas lanjut, Aidi Amin kemudian memberi ungkapan pepatah Rom ‘festina lente’ atau tergesa-gesa perlahan-lahan dengan Syed Saddiq perlu untuk mengelakkan terburu-buru dalam membuat pertimbangan.
“Syed Saddiq mesti mengamalkan kesabaran yang sama selama 22 bulan sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan terdahulu, dengan tidak mengelirukan belia yang ghairah melakukan perubahan. Perubahan bukan sekadar isyarat besar,” katanya.
Beliau menjelaskan, tiada siapa yang memperkecilkan kualiti beliau dan idea parti Muda untuk melakukan reformasi dengan mengumumkan calon-calon pilihan raya negeri di Selangor yang sebelum ini disandang PH.
“Persoalannya adalah keikhlasan niat anda yang lebih bersifat dendam untuk memecah belahkan undi PH.
“Di bawah Parlimen Sungai Buloh, kami percaya melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan dan bekerjasama dengan semua pihak melalui reformasi minda. Kami sebenarnya telah menyokong Muda dalam program untuk masyarakat pada bulan Ramadan, kerana kami percaya bahawa tindakan bercakap lebih kuat daripada kata-kata,” katanya. – UTUSAN