Pusat karaoke tawar GRO diserbu polis - Utusan Malaysia

Pusat karaoke tawar GRO diserbu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan sebuah pusat karaoke di Bukit Bintang yang menawarkan pelayan pelanggan (GRO) mengikut pakej dipilih yang berharga mencecah puluhan ribu ringgit.

Taktik sebuah pusat karaoke itu terbongkar selepas serbuan dilakukan Unit Pencegahan Maksiat, Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman kira-kira pukul 1.10 pagi pada Ahad lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil serbuan itu, sebanyak 161 GRO dan pekerja premis ditahan.

Kata beliau, hasil pemeriksaan, 84 daripadanya adalah wanita warga asing dan 22 wanita tempatan yang disyaki bekerja sebagai GRO manakala 55 orang lagi terdiri daripada pengurus, penjaga kaunter serta pekerja.

“Mereka yang berusia antara 18 hingga 46 tahun ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, pasukan serbuan turut memeriksa 336 pelanggan dengan enam daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Menurut Razarudin, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya telefon bimbit, perakam video, modem, penghala (router), set karaoke dan minuman keras serta wang tunai RM3,862.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu kata beliau, premis yang berkonsepkan pusat hiburan dan mempunyai 17 bilik karaoke itu menyediakan pakej bayaran bermula RM3,800 sehingga RM25,000.

“Pengusaha turut dikesan menyediakan GRO warga asing dan tempatan mengikut permintaan pelanggan dengan kadar bayaran ditetapkan.

“Premis itu juga beroperasi tanpa tiada lesen sah dan menyalahgunakan lesen restoran dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu beroperasi dari 8 malam sehingga 6 pagi setiap hari,” jelasnya.

Tegas beliau, semua pengusaha pusat hiburan diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati menjalankan aktiviti terlarang.

“PDRM akan menjalankan pemantauan berterusan bagi mengelak aktiviti terlarang yang berkemungkinan boleh berlaku disebabkan oleh pengunjung pusat hiburan dan memastikan ketenteraman awam terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN