PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi memantau lokasi penamaan calon pada enam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasukan Op Cantas juga digerakkan di lokasi-lokasi panas bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon.
“Saya sendiri berada di pusat gerakan di Bukit Aman bagi memantau perjalanan proses penamaan calon pagi ini.
“Pantauan daripada dron dan pasukan Op Cantas mempunyai link dengan pusat gerakan ini,” katanya.
Proses penamaan calon bagi PRN berlangsung serentak di enam negeri hari ini.
Sebanyak 173 pusat penamaan calon dibuka di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – UTUSAN