PRN: PN dakwa ramai ahli MIC keluar parti - Utusan Malaysia

PRN: PN dakwa ramai ahli MIC keluar parti

PN MIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) negeri ini mendakwa ramai ahli parti komponen Barisan Nasional (BN), meninggalkan MIC apabila menyatakan gabungan itu serta Pakatan Harapan (PH) tidak relevan untuk membawa suara kaum India.

Parti gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan itu dalam kenyataannya menyatakan, ahli-ahli MIC tidak bersetuju dengan kepimpinannya termasuk BN dan memilih untuk keluar parti.

“Mereka bersama PN bagi membela nasib kaum India. PH pula dilihat sudah tidak lagi relevan untuk membawa suara kaum India kerana lebih banyak memberikan janji berbanding tindakan,” katanya, hari ini.

Tambah kenyataan itu, PN Selangor mendakwa partinya serius mahu memperkasakan masyarakat India jika diberi mandat untuk mentadbir Selangor seperti yang pernah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin ketika menjadi Ahli Parlimen Gombak pada 2022.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kedua-dua komponen utama BN iaitu MIC dan MCA mengumumkan tidak meletakkan calon mereka di mana-mana negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Malah, MCA mengambil keputusan demikian untuk menumpukan persediaan menghadapi PRU16 selain melaksanakan pembaharuan serta kebangkitan parti.

Dalam pada itu, PN dalam kenyataan sama memaklumkan kejatuhan MIC di Selangor bermula selepas BN gagal pertahankan kedudukan sebagai kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.

“MIC kian kehilangan undi kaum India dan parti ini terus bergelut untuk memenangi hati kaum ini semula. Perkara ini berlaku akibat kesetiaan pengundi India ketika itu disalahgunakan menyebabkan kaum ini beralih sokongan.

“Sehingga kini, dianggarkan kira-kira 44 peratus daripada keseluruhan populasi kaum India di Malaysia tinggal di Selangor dan mewakili kira-kira 10.5 peratus daripada keseluruhan penduduk Selangor. 

“Hal ini menjadikan Selangor sebagai negeri terpenting kepada kaum India untuk membawa suara mereka ke atas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya