PRN: Pas Terengganu umum 10 tawaran manifesto - Utusan Malaysia

PRN: Pas Terengganu umum 10 tawaran manifesto

SEBAHAGIAN ahli dan penyokong Pas yang hadir pada program Jelajah Mega PN Best, Himpunan Teguh Pertahan Terengganu di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu mengumumkan 10 tawaran menarik yang digariskan dalam manifesto pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak 10 tawaran baharu itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya Pas dapat mempertahankan kerajaan dalam pilihan raya tersebut.

Menurutnya, lapan daripada tawaran manifesto itu telah diumumkan secara berperingkat pada Himpunan Teguh Pertahan di beberapa tempat di negeri ini sebelum ini.

“Sebanyak 10 tawaran manifesto itu adalah menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal tanpa riba maksimum RM4,000, menyediakan khairat kematian sebanyak RM500, menyediakan Tabung Geran Usahawan Belia sebanyak RM5 juta, menyiapkan jalan raya Pantai Terengganu dari Kemaman hingga Besut dan menaja caruman Skim Keselamatan Perkeso untuk Suri Rumah.

“Tawaran lain, menyediakan Tabung Bantuan Pertanian, Penternak dan Nelayan sebanyak RM5 juta, mewujudkan Pusat Tafaqquh Fiddin di setiap daerah, menjadikan Terengganu negeri pengeluar makanan negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

“Selain itu, meningkatkan peluang pekerjaan menerusi insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang membuka cawangan perniagaan di Terengganu serta membina ‘Township Mosque’ sebagai masjid  yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan,” katanya.

Beliau mengumumkan 10 tawaran manifesto PRN itu ketika berucap pada program Jelajah Mega PN Best, Himpunan Teguh Pertahan Terengganu di Dataran Jambatan Angkat di sini, malam tadi.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memberitahu, ahli dan penyokong Pas di negeri ini diminta memahami dan menyebarkan kepada orang ramai mengenai tawaran dalam manifesto tersebut dalam tempoh kira-kira sebulan ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Pas Terengganu juga telah berjaya melaksanakan kesemua 20 tawaran manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Sebanyak 20 manifesto ketika PRU14 lalu, kita telah berjaya melaksanakan kesemuanya dan ada yang sedang berjalan pelaksanaannya,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Redang itu menambah, beliau juga meminta seluruh jentera pilihan raya Pas dapat bekerja lebih kuat untuk menjamin kemenangan di kesemua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN depan.

Pada 5 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN di enam negeri.

Sementara itu, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala hari pengundian awal pula 8 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya