KOTA BHARU: Tiada sebarang isu yang boleh dibangkitkan apabila nama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau Nik Abduh sekali lagi tidak dicalonkan bagi mewakili Pas pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, Nik Abduh tidak dicalonkan untuk mengekalkan kerusi Parlimen Bachok apabila Pas menamakan Syahir Sulaiman sebagai calon untuk parlimen tersebut.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, ia berikutan Nik Abduh sendiri menolak untuk dirinya dicalonkan selain berulang kali menjelaskan bahawa tiada masalah sekiranya beliau tidak bertanding.
Menurutnya, pimpinan Pas juga telah berjumpa dan berbincang dengan anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dan sudah mencapai persetujuan bersama.
“Kita sudah jumpa dan berbincang dengan beliau (Nik Abduh). Beliau sendiri sebut bahawa tiada masalah jika tidak bertanding. Beliau sudah jelaskan banyak kali. Komitmen dan istiqamah beliau kepada parti tidak berbelah bahagi. Jadi, tiada sebarang isu berbangkit.
“Beliau juga menyatakan keinginan untuk memberi fokus kepada Sekolah Menengah Ugama (SMUA) Maahad Darul Anuar dan Kompleks Masjid Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Calon PRN Ke-15 Perikatan Nasional Negeri Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Muhammad IV di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menyatakan Pas melihat ruang untuk Nik Abduh bergerak di dalam politik masih luas dan tidak semestinya sebagai calon.
“Nik Abduh sendiri menyebut bahawa legasi Tok Guru (Nik Abdul Aziz) bukan untuk menjadi calon, tetapi perjuangan tok guru itu disambung.
“Awalnya kita telah menawarkan untuk bertanding di beberapa kawasan dan beliau boleh mempertimbangkan beberapa kawasan namun akhirnya beliau ambil keputusan untuk menolak tawaran untuk dicalonkan,” ujarnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi jaminan untuk turut melibatkan peranan Nik Abduh di dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya berjaya mengekalkan pemerintahan.
“Sekiranya Pas berjaya sekali lagi memerintah, kita akan menempatkan beliau dalam satu kedudukan terbaik,” katanya.
Sebelum ini terdapat ura-ura bekas Ahli Parlimen Bachok itu akan bertanding di kerusi DUN Chempaka yang merupakan kawasan Allahyarham bapanya.
Mengukuhkan lagi dakwaan itu, apabila Mursyidul Am Pas Datuk Seri Hashim Jasin mengesahkan bahawa nama Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura, sekali gus layak menjadi calon parti itu pada PRN nanti.-UTUSAN