PRN: Gugur 7 penyandang di Pulau Pinang pastikan DAP kekal dinamik, relevan - Anthony - Utusan Malaysia

PRN: Gugur 7 penyandang di Pulau Pinang pastikan DAP kekal dinamik, relevan – Anthony

ANTHONY Loke pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman calon DAP bagi PRN Pulau Pinang dan Kedah di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Keputusan DAP untuk menggugurkan tujuh penyandang termasuk lima Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada bertanding pada PRN negeri itu merupakan satu proses pembaharuan yang dilaksanakan bagi memastikan parti itu kekal dinamik dan relevan dalam politik.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, proses itu juga merupakan satu proses yang diharapkan dapat membawa nafas baharu dan ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan setiap parti politik.

Jelas beliau, DAP juga mengambil pendekatan seimbang supaya calon-calon PRN Pulau Pinang mempunyai muka baharu dan muka lama supaya mereka dapat bersama-sama membina kekuatan di negeri itu.

”DAP tidak akan teragak-agak dalam proses ini, sebab kalau kita gagal dalam melaksanakan proses pembaharuan ini parti kita akan menjadi tidak relevan.

”Kita tidak mahu mencapai satu tahap di mana kita sudah ketinggalan baru kita membuat pembaharuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan calon-calon DAP Pulau Pinang dan Kedah untuk PRN Ke-15, di sini hari ini.

Antara tujuh penyandang digugurkan DAP daripada bertanding pada PRN Pulau Pinang termasuk lima Exco pentadbiran kerajaan negeri iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Chong Eng (Pangkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) dan Dr. P. Ramasamy (Perai).

Turut digugurkan ialah M. Satees (Bagan Dalam) dan Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Menurut Anthony, proses pembaharuan yang mana terdapat tokoh-tokoh DAP digugurkan akan dilakukan setiap kali pilihan raya berlangsung.

”Satu hari nanti mungkin saya juga akan digantikan, jadi saya ingin nyatakan bahawa parti lebih besar daripada mana-mana pemimpin, tidak ada seorang pemimpin yang tidak boleh digantikan, malah Lim Kit Siang pun bersara,” katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai tokoh-tokoh DAP antaranya Ramasamy dan Chong Eng yang digugurkan, Anthony berkata, parti membuat pertimbangan sedemikian bagi memberi laluan dan peluang kepada calon muka baharu untuk berkhidmat kepada masyarakat.

”Ada beberapa tokoh sebagai contoh Ramasamy yang telah tiga penggal berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri, Chong Eng pula secara keseluruhannya enam penggal sebagai ADUN dan Ahli Parlimen sejak 1995.

”Jadi, ada keperluan yang kita rasa perlu berikan peluang kepada muka baharu, itu yang telah kita putuskan,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, beliau juga yakin penyandang kerusi yang tidak dicalonkan pada PRN kali ini tidak akan bertanding sebagai calon bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya