SHAH ALAM: Pertembungan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bakal mempamerkan saingan dua penjuru yang sengit antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN-PH) menentang Perikatan Nasional (PN) dalam 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selain itu, gendang perang yang dipalu di kesemua 56 gelanggang DUN di negeri ini memperlihatkan empat penjuru sebagai pertarungan calon paling ramai yang melibatkan kawasan lima kerusi iaitu Kuala Kubu Bharu, Pandan Indah, Seri Setia, Sentosa dan Dengkil.
Di Kuala Kubu Bharu, selain pertembungan antara wakil PN, Henry Teoh Kien Hong dan PH, mereka juga ditentang Ching Boon Lai daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Dr. R. Siva Prakash (Muda).
Di Pandan Indah pula, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Izham Hashim perlu berdepan Fazil Mohamad Dali daripada PN, Lisa Redzuan (Muda) dan Sivaneswaran Ramasundram (Bebas).
Sementara di Seri Setia, kawasan milik PKR itu memperlihat pertembungan antara Dr. Fahmi Ngah daripada parti itu dengan Mohd. Zubir Embong (PN), Dobby Chew (Muda) dan Harindran Krishnan (Bebas).
Di Sentosa yang menjadi kubu kuat PH (DAP), Gunarajah George perlu berdepan dengan Parameswaran Ganesan (PN), R. Tanusha (Muda) dan Jeichandran Wadivelu (PRM) untuk memastikan kerusi berkenaan kekal milik parti itu.
Di N.55 Dengkil, calon BN, Noorazli Said berdepan dengan Datuk Jamil Salleh (PN), wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), Prof. Darren Ong dan wakil tunggal Parti Utama Rakyat Malaysia (PUR), Mohd. Daud Leong.

Selain empat penjuru, sebanyak 23 kerusi DUN termasuk kawasan ditandingi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di N.16 Sungai Tua berdepan saingan tiga penjuru melibatkan calon daripada PN Muhammad Hanif Jamaluddin dan Bebas, Suman Gopal.
Antara nama besar lain yang terlibat dalam pertembungan tersebut adalah di N.23 Dusun Tua yang menyaksikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abd. Aziz mewakili BN berentap dengan Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (Muda) dan Azhar Hambali (PN).
Di N.36 Bandar Utama, penyandang Jamaliah Jamaluddin (PH) pula perlu berdepan dengan Abe Lim Hooi Sean (Muda) dan Nor ALif Mohd. Tafid (Gerakan).
Sementara Paya Jaras, ahli MMKN, Mohd. Khairuddin Othman (PH) yang menyandang kerusi tersebut akan bersaing dengan Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri (PN) dan Sifu Linda (Bebas) untuk mempertahankannya.
Sementara di N. 39Kota Damansara, calon daripada PH yang sepatutnya bertanding Aidi Amin Yazid digantikan dengan Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Selangor Muhammad Izwan Ahmad Kasim yang akan bertembung dengan Mohd. Radzlan Jalaludin (PN) dan Sivarajan (PSM).
Di N.40 Kota Anggerik, bekas Ketua AMK Selangor, Mohd. Najwan Halimi akan bersaing dengan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar (PN) dan Azad Akbar (Muda) untuk terus mewakili kerusi tersebut.
Di N.41 Batu Tiga, kerusi disandang anggota MMKN, Rodziah Ismail (PH) akan menyaksikan pertembungan antara Danial Al Rashid (PH), Syaidiya Izzati Nur Razak Maideen (Muda) dan bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun (PN).
DUN N.44 Selat Kelang yang merupakan antara kerusi tumpuan di Selangor menjadi gelanggang bagi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (PN) dan Datuk Roslee Abd. Hamid serta Datuk Ezam Mohd. Nor (PRM).
Selain itu, Azmizam Zaman Huri yang menyandang kerusi DUN N.46 Pelabuhan Klang, akan bertarung dengan Syed Ahmad Putra (PRM) dan Wan Hasrina Wan Hassan (PN).
Seorang lagi anggota MMKN, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yang menyandang DUN N.49 Sungai Kandis akan melawan Ketua Bersatu Bahagian Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad (PN) dan Afriena Shaqira Sariff (Muda).

Sementara itu, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan bekas Menteri Besar negeri ini akan berdepan dengan Setiausaha Politik Amirudin, Juwairiya Zulkifli dalam pertembungan dua penjuru.
Manakala anak muridnya, Muhammad Hilman Idham (PN) akan bersaing dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin juga dalam saingan dua penjuru.
Turut terlibat dalam pertembungan dua penjuru adalah Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN) dan Pemuda UMNO Kuala Langat, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar (BN) di DUN N.51 Sijangkang.
Sementara Ketua Pembangkang Datuk Mohd. Rizam Ismail (BN) dan Ketua Pemuda BN Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin masing-masing bertembung dengan Mohd. Zaidi Selamat dan Muhamad Razali Saari dari PN di N.01 Sungai Air Tawar dan N.03 Sungai Panjang.
Dalam PRN ini juga, sembilan calon Bebas kemuka pencalonan mereka di sembilan kerusi berasingan seperti Ijok, Kuang, Sungai Tua, Pandan Indah, Seri Kembangan, Seri Setia, Paya Jaras, Banting dan Sungai Pelek.
Seramai 145 calon bertanding dalam PRN Selangor yang turut disertai 22 calon wanita di 18 kawasan seperti Permatang (Nurul Syazwani), Taman Templer (Aida Rahman – Muda), Bandar Utama (Jamaliah Jamaluddin – PH) dan Sungai Kandis (Afriena Shaqira Sariff – Muda). – UTUSAN