CHERAS: Tiga calon daripada tiga parti politik yang bertanding bagi merebut merebut kerusi disandang DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di sini, memasuki pusat penamaan calon bagi penyerahan borang pencalonan pilihan raya pagi ini.
Ketika ini, ketiga-tiga calon sedang berada di dalam Dewan Sekolah Menengah Agama Batu 10, Cheras bagi proses penyerahan borang pencalonan yang berakhir pukul 10 pagi ini.

Calon berkenaan ialah daripada Perikatan Nasional (PN), Azhar Hambali; Barisan Nasional (BN), Johan Abd. Aziz dan calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Al Hafiz Ikhwan yang masing memasuki pusat penamaan calon pada waktu berlainan.
Keadaan di sekitar pusat penamaan calon di sini terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Awal pagi ini, penyokong-penyokong parti berkenaan berarak masuk mengiringi calon-calon yang didahului calon PN sambil berselawat dan melaungkan takbir “Allahu Akbar”.
Ia kemudian disusuli dengan laungan “hancur, hancur” oleh salah seorang penyokong gabungan parti politik itu.

Penyokong BN antara yang dilihat paling ramai berarak dan berkumpul dan di kawasan khas yang disediakan manakala Muda mempunyai kira-kira 40 penyokong.
Difahamkan, DUN Dusun Tua yang terletak di dalam Parlimen Hulu Langat menjadi pertikaian antara UMNO dan DAP.
Bendahari DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming dilaporkan memberi amaran bahawa memberi UMNO bertanding di kerusi itu boleh menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbi DAP.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan mengakui sedikit terkilan apabila kerusi Dusun Tua yang disandang parti itu diserahkan kepada BN.
Pun begitu, sebagai pertukaran kerana menyerahkan kerusi itu, DAP mencadangkan supaya Yang Dipertua Negeri Selangor dilantik dalam kalangan bukan ADUN dan mencadangkan penyandang DUN Banting, Lau Weng San sebagai calonnya.
Dusun Tua disandang oleh Edry Faizal Eddy Yusof. Kerusi itu merangkumi 63 peratus pengundi Melayu, diikuti 28 peratus pengundi Cina, India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerusi itu pernah menjadi milik BN-UMNO (Ismail Sani), bagaimanapun, ketika itu beliau tewas oleh calon daripada Pas, Razaly Hassan.
Pada PRU14 2018, Razaly pula tewas oleh Edry Faizal dengan majoriti 10,422 undi. – UTUSAN