Pondok bukan tempat lambak pelajar bermasalah

Pondok bukan tempat lambak pelajar bermasalah

MOHD. Na'im Mokhtar (dua dari kiri) menyampaikan pesanan kepada guru-guru pondok pada Program Ramah Mesra Bersama Ulama-Ulama Pondok Negeri Kelantan di Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Kerajaan sudah membangunkan garis panduan bagi operasi institusi pondok termasuk dalam urusan pengambilan pelajar bagi mengelak pusat pengajian itu menjadi tempat lambakan pelajar bermasalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu bertujuan memastikan pondok dapat mengambil pelajar berkualiti untuk mengikuti pengajian di tempat mereka sekali gus memartabatkan pusat pengajian Islam tersebut.

“Jadi dengan adanya garis panduan yang serata atau sama, mudahlah untuk kita pastikan mereka yang memasuki institusi pondok benar-benar dengan tujuan untuk belajar.

“Kita tidak mahu institusi pondok menjadi seperti tempat lambakan anak-anak bermasalah. Kita mahu pastikan mereka ini berkualiti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Bersama Ulama-Ulama Pondok Negeri Kelantan di Lubuk Tapah, di sini hari ini.

Mohd. Na’im memberitahu, kerajaan berhasrat untuk melahirkan ikon-ikon Muslim sebagai contoh akhlak dan keberadaban baik daripada pusat-pusat pengajian pondok yang akan turut dapat dilihat oleh masyarakat bukan Islam.

Justeru, katanya, adalah penting institusi pondok didaftarkan bagi memudahkan aspek pengawasan pelajar dan berharap ibu bapa turut memainkan peranan secara kolektif dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pusat pengajian itu semata-mata.

“Kita takut jika institusi pondok yang dibangunkan tidak berdaftar dan tiada metodologi kurikulum yang baik, pelajar boleh dipengaruhi anasir-anasir tidak baik sehingga pondok menjadi pusat keganasan,” ujarnya.

Mohd. Na’im berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 304 pondok dan 1,332 maahad tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan kerajaan akan terus membincangkan langkah-langkah untuk memastikan kebajikan guru-guru serta mereka yang berkhidmat dalam institusi keagamaan tetap terjaga.

“Kita akan terus bincang aspek itu tetapi perlu melihat dahulu kedudukan kewangan kerajaan. Kita akan sentiasa membincangkan perkara ini.

“Kita memang mahu menjamin supaya aspek kebajikan guru-guru agama, guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam-imam dan lain-lain terjaga secara bulanan termasuklah gaji mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya