PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita sedang siasat dan beliau akan dipanggil dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, pelbagai pihak meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Tindakan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja tanpa mengira parti.
Terdahulu, portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar bahasa Mandarin melaporkan Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.
Guan Eng mendakwa akan menyebabkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan. – UTUSAN










