PN tidak boleh tembus Pulau Pinang - Dr. M

PN tidak boleh tembus Pulau Pinang – Dr. M

Mahathir Mohamad
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Perikatan Nasional (PN) berpotensi menang di lima daripada enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, PN diramal tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

“Kita dapati bahawa sentimen orang ramai bertukar. Tidak seperti pilihan raya dahulu. Orang Melayu umpamanya berasa curiga tentang masa depan mereka. 

“Terutamanya generasi tua, generasi lama kerana mereka lihat kedudukan mereka tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan. 

“Mereka tak dapat petunjuk atau cadangan daripada kerajaan bagaimana untuk mengatasi masalah mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Hari Perniagaan Sosial 2023 kali ke-13 anjuran Albukhary International University (AIU) di sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, tindakan kerajaan yang memberikan wang apabila hampir musim pilihan raya adalah sejenis rasuah yang digunakan untuk menarik sokongan orang ramai.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kehadirannya dalam program PN baru-baru ini bukan bermakna menyertai mana-mana parti, cuma menyokong mereka kerana mempunyai objektif yang sama.

“Saya hanya hadir untuk perjumpaan. Saya tidak menyertai Pas. Bukan Pas, bukan PN mahu pun Putra. Saya bebas daripada semua parti politik.

“Mereka (Pas) mempunyai objektif sama dengan saya, jadi saya akan sokong mereka. Kami lihat kerajaan sekarang adalah kerajaan yang dipanggil sebagai kakistokrasi yang tidak tahu bagaimana hendak memerintah. Jadi kita perlu ubah (kerajaan),” katanya.

Ditanya mengenai calon-calon yang dijangka bertanding atas tiket bebas, Dr. Mahathir berkata: “Kita nampak (calon bebas) main-main, tak ada serius pun. Apa boleh buat orang perseorangan yang jadi calon bebas? Dia tak boleh buat apa pun.  Dia boleh pergi ke Parlimen, bercakap. Tapi tak ada kesan sama sekali.

“Yang berkesan kalau kita jadi kerajaan. Sebab itu dalam pilihan raya hasratnya nak mendirikan kerajaan, bukan nak jadi wakil rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya