PETALING JAYA: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menyifatkan Perikatan Nasional (PN) merupakan pilihan terbaik untuk rakyat setakat ini dalam pilihan raya negeri (PRN), bulan depan.
Beliau berkata, hal ini ekoran parti UMNO yang ‘keseorangan’ apabila keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada pilihan raya enam negeri.
“Malah, kita yakin pengundi akan beralih arah kepada PN selepas sedar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini ditunggu untuk jadi Perdana Menteri (PM) namun tidak seperti yang diharapkan.
“Buat masa ini kita pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia lebih-lebih lagi UMNO bertanding sendiri tanpa MIC dan MCA,” katanya di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PN setakat ini yakin dapat menawan lima negeri ketika PRN nanti malah ramai calon ‘menarik’ dari pelbagai bidang akan bertanding.
“Persediaan sangat baik dan sambutan sangat memberansangkan, seperti semalam di Terengganu lebih 50,000 hadirin turun.
“Cabaran mungkin di Selangor tetapi kita akan buat secara habis-habisan agar undi memihak kepada PN. Tiada satu jentera pun goyang kaki,” ujarnya. – UTUSAN










