PH-BN tumpu rampas dua negeri pembangkang

PH-BN tumpu rampas dua negeri pembangkang

ANWAR Ibrahim menyempurnakan Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) memberi bayangan untuk menguasai dua negeri pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara dasarnya, PH-BN mahu memberi tumpuan kepada semua enam negeri pada PRN nanti.

Namun, katanya, perkembangan semasa menunjukkan tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan kekal bertahan dan tumpuan seterusnya adalah untuk menguasai dua lagi negeri.

“Saya lihat tiga negeri itu boleh bertahan, insya-Allah dan kita boleh menjurus kepada dua negeri lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, semalam.

Anwar yang juga Pengerusi PH turut mengesahkan sudah selesai mengadakan perbincangan pengagihan kerusi dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, setakat ini, tiada pertindihan kerusi antara PH-BN menjelang PRN itu nanti.

“Saya dan Ahmad Zahid hampir selesai semuanya, cuma kita beri ruang juga kalau ada pandangan yang dikemukakan kepimpinan negeri sama ada PH atau BN,” katanya.

Katanya, beliau turut mengesahkan akan melancarkan jentera pilihan raya pakatan itu pada perhimpunan di Selangor, Jumaat ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya BN optimis gabungan itu mampu menawan dua negeri milik Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah dan Terengganu.

Tambahnya, gabungan tersebut juga mampu merampas beberapa kerusi DUN di Kelantan jika jentera pilihan raya di kawasan masing-masing bekerja bersungguh-sungguh dengan strategi yang baik.

“Sebagai underdog dalam memasuki PRN ini, kita akan buat kerja sebaik mungkin dan saya harap jentera terus pertingkatkan gerak kerja masing-masing,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penyampaian Dermasiswa Premium dan Sumbangan Komputer Riba, di Kuala Lumpur, semalam.
.
Menurutnya yang mungkin bertanding di DUN Rantau di Negeri Sembilan, gabungan tersebut akan meletakkan calon boleh menang di kerusi yang ditandingi tanpa mengira muka baharu atau lama.

“Kita tak letak ratio berapa muka baharu atau lama. Kalau saya bertanding boleh menang, takkan nak buang saya kan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN