Perlombongan REE: Pegawai kanan kerajaan negeri disyaki minta rasuah RM1 juta ditahan - Utusan Malaysia

Perlombongan REE: Pegawai kanan kerajaan negeri disyaki minta rasuah RM1 juta ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Penahanan suspek lelaki yang berusia 50-an dilakukan kira-kira pukul 8 malam tadi di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat.

Satu sumber memberitahu, secara keseluruhannya seramai empat suspek telah ditahan SPRM termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI), pengarah syarikat dan pembantu kepada pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

“Difahamkan, perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 Julai telah dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kata beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan salah seorang pegawainya ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Muhammad Sanusi berkata, beliau hanya dimaklumkan perkara itu pada pagi ini tetapi tidak mengetahui secara lanjut butiran penahanan dan siasatan berkenaan kes apa.

Hari ini tersebar mesej yang menyatakan seorang pegawai kanan kepada Menteri Besar direman tiga hari di Mahkamah Sesyen Alor Setar setelah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN