KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa menperketatkan syarat membuka kedai runcit sekiranya serius menangani monopoli warga asing dalam sektor itu sekali gus memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk membuka perniagaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang, Mohamed Akhram Nasir Ahmad berkata, fleksibeliti undang-undang di negara ini merupakan antara sebab utama ramai warga asing mendapat laluan mudah untuk membuka perniagaan.
“Tidak ada ‘red tape’ atau syarat tertentu. Ada yang berkahwin dengan orang tempatan, ada yang boleh buka Syarikat sdn bhd dan ada Syarikat Ali Baba serta banyak lagi caranya.
“Kita boleh lihat, bukan sahaja warga Pakistan yang berjaya. Malah warga Indonesia dari Acheh juga sudah memonopoli perniagaan kedai runcit.
“Warga Bangladesh dan Rohingya pula monopoli perniagaan perladangan, kontraktor dan hasil bumi. Melayu Champa dari Kemboja dan Vietnam memonopoli perniagaan kain,tudung dan pakaian serta mampu membuka kedai,” katanya ketika dihubungi,di sini, semalam.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, hampir semua sektor ekonomi berasaskan rangkaian bekalan dan pengeluaran makanan negara dikawal warga asing apabila kebanyakan majikan terpaksa bergantung sehingga 80 peratus kepada pekerja asing.
Perkara itu berterusan dan warga asing kini bukan hanya bekerja sebagai buruh tetapi semakin ramai berjaya mengusahakan kebun sayur sendiri dan mula menguasai sektor runcit untuk membekalkan barangan keperluan kepada penduduk sekitar.
Selain itu, Akhram tidak menolak warga asing yang bekerja dan membuka perniagaan di sini mempunyai latar belakang dari negara yang susah dengan senario politik yang kucar-kacir.
“Apa yang saya maksudkan, mereka tahu apa itu kesusahan, derita, penindasan, kelaparan. Musuh utama manusia ialah kelaparan.Jadi pendatang ini berhijrah ke negara lain yang ada banyak peluang demi memperbaiki masa depan keluarga mereka .
“Kelaparan dan kesusahan telah mengajar mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh di mana saja sampaikan ada yang sanggup tinggalkan anak dan isteri untuk berhijrah.
“Apa yang membawa mereka kepada kejayaan ialah sikap kerajinan, setia, berusaha dan jaringan yang kuat. Sanggup tolong dan bantu antara rakan senegara, tidak ada perasaan hasad dengki. Malah tak pernah bercuti selain menjaga ketepatan masa untuk membuka dan tutup perniagaan,”katanya.
Tambah Akhram lagi, beliau juga percaya rata-rata warga asing ini rela bersikap jimat cermat dalam perbelanjaan harian.
“Tidak ada nafsu untuk beli kereta mahal atau hiasan rumah atau tambah isteri. Kalau mahu senaraikan, banyak yang kita orang Melayu kalah dengan pendatang.
“Kita banyak bercuti, kenduri kawin saudara mara kita sibuk cuti, emak mertua sakit kita cuti, komitmen kita tidak bersungguh sungguh. Banyak lagi kelemahan pada diri kita kalau mahu senaraikan,” katanya. – UTUSAN









