Perayaan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pulihkan keyakinan rakyat - Utusan Malaysia

Perayaan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pulihkan keyakinan rakyat

CHOW Kon Yeow ketika melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Pulau Pinang di Padang Kota, George Town hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SAFINA RAMLI / pix IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN: Perayaan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang hari ini diharapkan memulihkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan untuk membawa negara ke arah ekonomi dan politik yang lebih stabil.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perayaan Bulan Kebangsaan ini amat signifikan buat Kerajaan Perpaduan memandangkan ia adalah sambutan pertama buat di bawah tema Malaysia Madani.

”Kita harap dapat memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap negara ini sebab kita telah melalui beberapa tahun ketidakstabilan negara baik dari segi politik mahupun ekonomi.

“Sekarang kita sudah memasuki fasa pemulihan di mana perayaan Bulan Kebangsaan ini akan benar-benar memulihkan keyakinan rakyat supaya menuju ke depan demi pembangunan negara,” katanya selepas melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Pulau Pinang di Padang Kota, di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 21 Jabatan Negeri, 19 Jabatan Persekutuan, 11 Agensi Negeri dan 10 Agensi Persekutuan terlibat bagi sesi penyerahan Jalur Gemilang sebagai simbolik bermulanya kempen Bulan Kebangsaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Kon Yeow berkata, pengisian dan intipati Bulan Kebangsaan sangat memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej yang jelas untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Ujar beliau, selari dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, setiap daripada rakyat memainkan peranan penting bagi merancakkan kehangatan Bulan Kebangsaan yang diraikan.

”Kita di peringkat negeri akan menyokong penuh pelbagai program dan aktiviti yang telah dirangka bagi mengisi takwim sepanjang Bulan Kebangsaan ini,” katanya.

Dalam masa sama, Kon Yeow menyeru semua pihak bersama-sama merebut peluang menzahirkan semangat dan rasa cinta kepada negara dengan mengambil bahagian dalam acara-acara yang telah disusun.

“Diharapkan momentum dan sokongan padu ini dapat mekar dalam diri setiap kita sekali gus mewarnai erti dan semangat kemerdekaan negara yang kita cintai ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya