Penunggang lawan arus, tunjuk isyarat lucah ditahan polis - Utusan Malaysia

Penunggang lawan arus, tunjuk isyarat lucah ditahan polis

Lawan arus
TANGKAP layar penunggang motosikal tular apabila tindakannya melawan arus dan menunjukkan isyarat lucah dirakam sekitar Sungai Manggis di Kuala Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tindakan seorang lelaki yang tular menunggang motosikal dengan melawan arus dan tidak bertopi keledar di persimpangan lampu isyarat sekitar Sungai Manggis di sini, kelmarin memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.08 petang itu, lelaki berusia 55 tahun berkenaan dikatakan turut menunjukkan jari tengah kepada pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, perkara itu dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) yang menerima satu video tular daripada media sosial.

“Video itu memaparkan motosikal dinaiki dua individu itu melakukan kesalahan menunggang melawan arus dan tidak memakai topi keledar. 

“Penunggang motosikal itu turut telah menunjukkan jari tengah kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, polis kemudian pergi ke rumah individu tersebut di sekitar daerah ini.

“Lelaki itu dikenakan tindakan disaman atas pelbagai kesalahan lalu lintas. Kedua-dua individu itu turut diberi nasihat oleh anggota polis atas tingkah laku yang dilakukan mereka,” ujarnya.

Tambah Ahmad Ridhwan, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan demi keselamatan diri dan pengguna lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya