KUALA KRAI: Niat murni seorang pelajar melakukan kerja sambilan untuk membantu menambah pendapatan keluarga terbalas apabila memperoleh keputusan 6A, 1B, 1E dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Syaiful Massuri, 18, berkata, dia berbuat demikian bertujuan meringankan beban bapa, Massuri Jusoh, 55, yang menghidap penyakit saraf.
Menurutnya, setiap kali cuti sekolah iaitu pada Jumaat dan Sabtu, dia akan balik dari asrama untuk bekerja di kedai makan yang juga milik kakaknya.
“Saya mengambil keputusan untuk bekerja sambilan di kedai kakak bagi membantu meringankan beban ayah.
“Jadi dengan upah sebagai pembantu kedai makan, ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan sekolah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Sam, di sini semalam.
Mohamad Syaiful yang juga anak kesembilan daripada 12 beradik berkata, sebelum ini dia menerima tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak dalam jurusan Diploma Teknologi Geospatial, namun terpaksa menolak kerana ingin menjaga bapanya di rumah.
Katanya, dia kini memilih untuk menyambung pengajian Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra.
“Sejak kematian ibu, Rohaida Jusoh pada Ogos tahun lalu, ayah terpaksa menguruskan seorang diri adik-adik yang masih bersekolah. Selain saya, lima lagi adik-beradik lain sedang bersekolah termasuk dua di institusi pengajian tinggi, seorang di sekolah menengah serta seorang lagi di sekolah rendah.
“Yang lain sudah bekerja, jadi saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Tingkatan Enam kerana mahu berada lebih dekat dengan ayah,” jelasnya.
Mohamad Syaiful berkata, sebelum ini dia antara pelajar yang tercorot dan tidak pernah memperoleh keputusan ‘A’ dalam mata pelajaran matematik.
Katanya, namun sebaik sahaja terpilih mengikuti program bimbingan di bawah Program Yayasan Petronas Empower ECER Akademik (YPeA), dia berjaya meraih keputusan cemerlang.
“Saya sangat bersyukur kerana dengan adanya program ini, ia dapat membantu pelajar di kawasan luar bandar seperti saya untuk mendapatkan kelas tambahan.
“Sekiranya tiada program sebegini, sudah pasti saya tidak mampu untuk mendapatkan kelas tambahan dan memperoleh keputusan cemerlang,” katanya. – UTUSAN










