JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menghentikan penggunaan kupon letak kenderaan di seluruh kawasan pentadbirannya bermula tahun depan.
Justeru Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman memberitahu, pihaknya akan memperluas penggunaan aplikasi MBJB Spot kepada orang ramai dan setakat ini telah digunakan seramai 449,404 pengguna.
“Penjualan kupon tempat letak kenderaan dalam kawasan MBJB akan ditamatkan sebaik sahaja bekalan kupon sedia ada untuk tahun ini habis dijual.
“MBJB akan menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini yang menamatkan penggunaan kupon letak kenderaan dan menggunakan aplikasi sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBJB di sini semalam.
MBJB akan terus menggiatkan usaha mempromosi penggunaan aplikasi MBJB Spot bagi menjadikannya sebagai ‘super app’.
“Ketika ini ia bukan sahaja digunakan penduduk Johor Bahru malah orang ramai yang mengunjungi bandar raya ini, termasuk warga Singapura.
“Pada masa depan kita merancang menjadikan MBJB Spot sebagai aplikasi ‘super app’, menggabungkannya dengan aplikasi agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor,” katanya.
Mohd. Noorazam memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan tunggakan kompaun sebanyak 54,308 sejak awal tahun hingga 31 Mei lalu.
“Saya mengingatkan orang ramai yang mempunyai tunggakan kompaun untuk menjelaskannya dengan segera,” katanya. – UTUSAN