MARAN: Warga Felda di 317 rancangan Felda seluruh negara menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti beliau menandatangani kelulusan pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 27 Jun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia,Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Felda Malaysia (DPBFM), Datuk Mohd Mokhtar Ghazali menegaskan, tindakan proaktif Perdana Menteri itu dapat menamatkan polemik isu hutang peneroka yang panas menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Tambah beliau, sebagai pemimpin nombor satu negara, Anwar mempunyai kredibiliti dan maklumat sahih sebelum melakukan tindakan membabitkan kepentingan umum.
“Melalui dokumentasi yang didedahkan itu dapat memberi gambaran sebenar setiap hutang terkini setiap individu peneroka,” katanya.
Beliau yang juga generasi kedua Felda Kota Gelanggi 4, Jerantut mengulas kenyataan Perdana Menteri berkaitan isu pelupusan hutang peneroka tanah rancangan itu.
Mohd. Mokhtar berkata, bukti yang diberi Perdana Menteri itu menjelaskan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa pentadbirannya telah selesai melaksanakan penghapusan 80 peratus hutang peneroka pada tahun 2021.
“Kami peneroka menganggap isu ini lebih kepada keghairahan dua kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PH) menjuarai kebajikan peneroka,” ujarnya.
Pengerusi Biro Sosial dan Ekonomi Felda Wilayah Jengka, Razak Daud pula berkata, langkah Anwar tepat untuk membuktikan tindakan betul mengikut perspektif undang- undang.
“Penyata hutang muktamad peneroka merupakan jalan keluar untuk menentukan kebenaran isu itu,” katanya.
Razak menegaskan, warga Felda jemu dengan pelbagai isu berbangkit kerana matlamat mereka untuk meningkatkan ekonomi dan menjadi rancangan Felda seronok didiami. – UTUSAN










