KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Perikatan Nasional (PN) menuntut Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Bagan itu bersifat prejudis terhadap PN serta Pas selain berbaur perkauman hingga boleh memecahkan perpaduan kaum dan agama di negara ini
Beliau berkata, kenyataan Guan Eng dianggap keterlaluan yang cuba memancing pengundi Cina dengan meracuni pemikiran mereka bahawa orang Islam ini sanggup merobohkan rumah ibadat walhal perkara itu haram dan bertentangan dengan ajaran agama Islam.
“Walhal di Kelantan, sudah berpuluh tahun Pas memerintah, orang bukan Islam tiada masalah untuk ditadbir kerajaan itu.
“Kenapa perlu bermain sentimen agama dan kaum? Tindakan tegas perlu diambil terhadap Guan Eng yang membuat kenyataan berbaur fitnah dan hasutan,” katanya di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Ketua Armada Bersatu itu turut hadir bersama Ketua Pemuda PN Selangor merangkap Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar serta Ketua Biro Hak Asasi Manusia Pemuda Gerakan, Khoo Kuan Yiaw.
Mereka tiba bersama beberapa wakil Pemuda PN pada pukul 11.30 pagi bagi membuat laporan polis terhadap Guan Eng.
Dalam pada itu, menurut Wan Ahmad Fayhsal, sebanyak 50 laporan polis dibuat pihaknya di seluruh negara terhadap Guan Eng berkaitan isu terbabit.
“Pendirian kita tuntut beliau minta maaf pada orang Melayu serta beragama Islam yang buat tuduhan fitnah tidak berasas.
“Ini perkara serius, jangan bermain dengan api, kita (Pemuda PN) akan pantau setiap laporan kenyataan dibuatnya,” katanya.
Beliau juga mendesak Guan Eng mengemukakan bukti berkaitan dakwaan kenyataannya disalah tafsir oleh media.
“Datang bawa bukti, jumpa polis. Jika benar salah tafsir, saman media yang salah lapor,” desaknya.
Guan Eng sebelum ini menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.
Menerusi kenyataan di Facebooknya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.
Tegasnya, beliau merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah dan turut melampirkan keratan akhbar untuk menyokong kenyataan beliau. – UTUSAN










