Pemimpin kerajaan harus terbuka terima kritikan - Syed Saddiq

Pemimpin kerajaan harus terbuka terima kritikan – Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin dalam kerajaan harus terbuka menerima kritikan, bukan menyokong membuta-tuli semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan bertentangan dengan pemimpin lain yang dilihat hanya akur pada arahan kerajaan bukanlah pendiriannya.

Ini kerana jelas beliau, MUDA harus memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini.

“Saya pertahankan prinsip berani kerana benar. Dipilih oleh rakyat untuk bersuara mewakili mereka, bukan membisukan mulut apabila ada kemungkaran.

“Sepatutnya mereka di puncak kuasa tidak alergik kepada kritikan membina. Itulah tanggungjawab ahli Backbenchers (kelab penyokong). Bukan menyokong pemimpin membuta-tuli,” katanya menerusi WhatsApp, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang meminta MUDA meninggalkan Kerajaan Perpaduan secara terhormat selepas Syed Saddiq dilihat sering mengkritik kerajaan.

“Jangan kerana parti tidak dapat tempat dan kerusi dalam PRN, jangan lahirkan kekecewaan itu dengan membuat andaian tidak wujud. Adalah lebih terhormat Syed Saddiq mengambil keputusan untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan membuat haluan sendiri sebagai sebuah parti politik,” ujar Lokman Adam sebelum ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut berkata, kelantangannya dalam menegur kerajaan hari ini bukan berniat untuk menjatuhkan kerajaan.

Namun tegasnya, beliau hanya bertindak menjadi suara rakyat, sekali gus kerajaan perlu mendengar keluhan rakyat yang menjadi masalah utama pada hari ini.

“MUDA konsisten membawa isu-isu sama dari sebelum pilihan raya hingga selepas pilihan raya. Bukan gadaikan prinsip demi kuasa. Itu tugas kami untuk menjadi suara rakyat.

“Saya tidak berniat untuk jatuhkan mana-mana kerajaan, tapi mahu jadi suara semak dan imbang demi rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN