Pegawai ditahan, Sanusi tidak tahu atas faktor apa

Pegawai ditahan, Sanusi tidak tahu atas faktor apa

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan salah seorang pegawai kanannya ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Muhammad Sanusi berkata, beliau hanya dimaklumkan perkara itu pada pagi ini tetapi tidak mengetahui secara lanjut butiran penahanan dan siasatan berkenaan kes apa.

“Saya pun dimaklumkan pagi ini dia ditahan untuk membantu siasatan, bukan ditahan kerana bersalah. Saya tak tahu dia salah apa. Tak apalah bagi selesai siasatan dahulu.

“Dia pun tak maklum apa-apa (mungkin) dia tak boleh maklumlah kot. Usaha-usaha itu semakin hari semakin rancak nampaknya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi Daerah Yan di Guar Chempedak, di sini.

Hari ini tersebar mesej yang menyatakan seorang pegawai kanan kepada Menteri Besar direman tiga hari di Mahkamah Sesyen Alor Setar setelah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Ketika ditanya sama ada penahanan itu ada kaitan dengan tangkapan SPRM terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sebelum ini, Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan itu.

“Ya saya rasa betul. Saya rasa macam itu pasal satu-satunya hasil daripada brainstorm Pakatan Harapan untuk merebahkan Perikatan Nasional adalah isu unsur nadir bumi (REE) sebab itu dia pulun tak apalah, buatlah. Kita tak ada masalah apa.

“Saya relaks sahaja dan suruh semua siapa yang dipanggil bagi keterangan (untuk bekerjasama). Apa yang depa mahu, kita cerita. Kita tak ada apa nak dibimbangkan. Selama kita benar tiada apa yang perlu dikhuatirkan. Jangan takut, jangan gentar kita bukan bangsa penunduk,” katanya.

Rabu lalu, SPRM menahan reman seorang CEO MBI dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan jumlah melebihi RM13 juta.

Beberapa hari kemudian, agensi itu menahan seorang lagi individu yang merupakan pembantu kepada pemilik syarikat yang menjadikan keseluruhan tangkapan kini seramai empat orang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN