ALOR SETAR: Pas Kedah mengingatkan rakyat agar menjauhi politik kotor yang dimainkan kerana politik berasaskan fitnah dan adu domba bukanlah identiti politik negara yang harus diangkat.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya mengecam tindakan sesetengah pihak yang menggunakan serangan fitnah bagi menjatuhkan lawan politik khususnya berkaitan hal peribadi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
“Apakah mereka tiada lagi modal untuk membahaskan prinsip politik dan dasar yang cemerlang sepanjang pentadbiran beliau sehinggakan isu-isu peribadi yang tidak bersangkutan turut diheret ke medan politik.
“Perkara ini menggambarkan hipokrasi politik matang yang sering dilaungkan oleh sesetengah pihak yang boleh diibaratkan seperti mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tuduhan semberono menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH) kerana sejak awal mereka mengambil alih pentadbiran, pelbagai tuduhan yang menyimpang dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN).
“Mereka tuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin terlibat rasuah sedangkan kes tersebut belum dibicarakan dalam mahkamah. Begitu juga tuduhan ke atas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum oleh Rafizi Ramli. Namun, ia terus menyepi sehingga ke hari ini.
“Perdana Menteri turut menuduh PN menerima dana daripada syarikat perjudian yang juga akhirnya terbukti ia satu fitnah dan pembohongan. Satu Malaysia menyaksikan pembohongan dan fitnah menjadi makanan mereka dalam berpolitik,” katanya.
Ahmad mendakwa, badan-badan penguatkuasa juga diarahkan oleh pihak tertentu untuk terus menjatuhkan reputasi Muhammad Sanusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Namun katanya, Pas Kedah yakin rakyat sudah matang untuk menilai PH sebagai kaca, manakala PN sebagai permata. – UTUSAN










