'Pak Andak, Pak Su jaga kami empat beradik' - Utusan Malaysia

‘Pak Andak, Pak Su jaga kami empat beradik’

MUHD. Ikman Hafifi Mohd. Ramdan (kanan) dan adiknya, Muhd. Aiman Danial menyiram kubur ibu bapa mereka selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkai Jadi, Tronoh dekat Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Empat beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Gopeng semalam akan dijaga oleh bapa saudara mereka yang tinggal berdekatan rumah mereka di Kampung Serkai Jadi, Tronoh di sini.

Muhd. Ikman Hafifi Mohd. Ramdan, 17, iaitu anak kedua pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan semalam, Mohd. Ramddan Abd. Rahim, 44, dan Kisdalliana Saad, 43, berkata, dia dan tiga lagi adik beradiknya kehilangan tempat bergantung selepas kematian kedua-dua orang tua mereka.

Menurutnya, namun dia dan adik beradiknya bersyukur masih mempunyai tempat untuk menumpang kasih apabila bapa saudara, iaitu adik kepada arwah bapa sedia untuk menjaga mereka.

“Selepas kehilangan ibu dan bapa, Pak Andak dan Pak Su yang akan jaga kami. Kami adik beradik memang rapat dengan bapa saudara, apatah lagi rumah kami bersebelahan.

“Kami mesra dengan Pak Andak dan Pak Su, kami rapat sejak kecil lagi dengan mereka. Kini Pak Andak dan Pak Su serta saudara yang lain menjadi tempat kami bergantung, sekurang-kurangnya masih ada tempat untuk kami menumpang kasih selepas kehilangan ibu bapa kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga lagi anak iaitu anak sulung, Norfatin Syafikah, Muhd. Aiman Danial, 13, dan Nurfatihah Najihah, 7 tahun.

Muhd. Ikman Hafifi berkata, sebelum kemalangan semalam, dia sempat bertemu dengan ibu bapanya.

“Malam kelmarin ketika di rumah, saya lihat ibu sibuk mengemas keperluan kakak untuk mendaftar masuk kakak di Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng.

“Saya tidak sangka itu kali terakhir saya melihat emak dan ayah dan saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa saudara empat beradik itu, Mohd. Azlan Abdul Rahim, 37, yang mesra dipanggil Pak Su berkata, dia dan adik beradiknya akan menjaga empat anak saudara mereka itu.

“Kini menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga anak-anak arwah abang dan kakak ipar kami. Kami rapat dengan anak saudara kami ini sejak kecil dan rumah kami pun bersebelahan

“InsyaAllah kami bapa saudaranya boleh menjaga mereka dengan baik kerana kami mempunyai pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam dua liang lahat bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkai Jadi, Tronoh pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang semalam, Mohd. Ramddan dan Kisdalliana maut selepas kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya