BATU GAJAH: Empat beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Gopeng kelmarin akan dijaga oleh bapa saudara mereka yang tinggal berdekatan di Kampung Serkai Jadi, Tronoh di sini.
Muhd. Ikman Hafifi Mohd. Ramdan, 17, iaitu anak kedua pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan, Mohd. Ramdan Abd. Rahim, 44, dan Kisdalliana Saad, 43, berkata, dia dan tiga lagi adik-beradiknya kehilangan tempat bergantung selepas kematian kedua-dua orang tua mereka.
Namun dia dan adik-beradiknya bersyukur masih mempunyai tempat untuk menumpang kasih apabila bapa saudara, iaitu adik kepada arwah bapa yang sedia untuk menjaga mereka.
“Selepas kehilangan ibu dan bapa, Pak Andak dan Pak Su yang akan jaga kami. Kami adik-beradik memang rapat dengan bapa saudara, apatah lagi rumah kami bersebelahan.
“Kami mesra dengan Pak Andak dan Pak Su, kami rapat sejak kecil lagi dengan mereka. Kini Pak Andak dan Pak Su serta saudara yang lain tempat kami bergantung, sekurang-kurangnya masih ada tempat untuk kami menumpang kasih selepas kehilangan ibu bapa kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga lagi anak iaitu anak sulung, Norfatin Syafikah, 18; Muhd. Aiman Danial, 13, dan Nurfatihah Najihah, 7 tahun.
Muhd. Ikman Hafifi berkata, sebelum kemalangan, dia sempat bertemu dengan ibu bapanya.
“Malam itu saya berada di rumah. Ketika itu saya lihat ibu sibuk mengemas keperluan untuk kakak mendaftar masuk Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng.
“Saya tidak sangka itu kali terakhir saya melihat emak dan ayah dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa saudara empat beradik itu, Mohd. Azlan Abdul Rahim, 37, yang mesra dipanggil Pak Su berkata, dia dan adik-beradiknya akan menjaga empat anak saudara mereka.
“Insya-Allah kami bapa saudaranya boleh menjaga mereka dengan baik kerana kami mempunyai pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkai Jadi, Tronoh pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang kelmarin, Mohd. Ramdan dan Kisdalliana maut selepas kereta Proton Perdana yang dipandu ibu mereka hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu.
Pasangan suami isteri itu baru mendaftar masuk anak mereka ke Kolej Matrikulasi Perak. – UTUSAN