SIBU: Tiga orang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Deshon, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 11:34 pagi dan pihaknya menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah sejurus selepas menerima laporan panggilan berhubung nahas berkenaan.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian, empat mangsa didapati masih tersepit di dalam kenderaan itu dan pasukan bomba mengeluarkan mereka menggunakan peralatan khas serta pengusung.
“Tiga daripada empat individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian dan mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, seorang daripada mangsa dilaporkan berada dalam keadaan separa sedar dan dihantar ke hospital oleh petugas kesihatan untuk rawatan. – UTUSAN