GUA MUSANG: Lebih 2,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga pos pedalaman di sini memohon perkhidmatan jalur lebar melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dapat diteruskan agar mereka kekal berhubungan dengan dunia luar.
Penduduk di Pos Simpor, Pos Gob dan Pos Bihai mendakwa perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit yang bermula Januari 2022 yang dilaksanakan oleh agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu akan tamat pada Januari 2024.
Seorang penduduk Kampung Bihai Lama, Mulian Alok, 51, berkata, penduduk sangat berharap perkhidmatan Jendela akan diteruskan apabila sudah tamat enam bulan lagi..
“Perkhidmatan ini adalah satu-satunya cara penduduk Orang Asli di pedalaman untuk berhubung kerana tidak ada talian telefon.
“Kami berharap SKMM boleh tambah lagi kuota internet kerana sudah ramai penduduk yang mempunyai telefon bimbit dan capaian liputannya kadang-kala lemah,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, dia berharap dapat dibina pencawang di Pos Bihai kerana terdapat lebih 700 penduduk di pos terbabit yang memerlukan talian komunikasi yang lebih baik.
Sementara itu, seorang guru Orang Asli, Malina Jasmin, 35, berkata, kemudahan perkhidmatan Jendela banyak membantu dia dalam proses mengajar anak-anak Orang Asli di Pos Gob.
Katanya, selain untuk berkomunikasi, saya turut menggunakan internet dalam aktiviti pembelajaran dengan kanak-kanak di Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob ini.
“Anak-anak akan lebih seronok bila aktiviti pembelajaran melibatkan muzik dan lagu kanak-kanak.
“Jadi saya sangat berharap perkhidmatan Jendela yang sudah bermula sejak awal tahun lalu dapat diteruskan,” katanya. – UTUSAN