OKU dikhuatiri lemas dalam insiden bot karam di Ulu Tutoh, Baram - Utusan Malaysia

OKU dikhuatiri lemas dalam insiden bot karam di Ulu Tutoh, Baram

SUNGAI Tutoh, Ulu Baram yang merupakan lokasi kejadian insiden bot karam melibatkan seorang warga emas OKU masih belum ditemukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARAM: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas dalam insiden bot karam di Sungai Tutoh, Ulu Baram sejak Isnin lalu masih giat dijalankan sehingga ke hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Ismaidi Ismail berkata, lima daripada enam penumpang disahkan selamat dalam kejadian terbabit yang berlaku sekitar pukul 5.30 petang pada Isnin, yang mana terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

“Bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi menerima laporan berhubung kejadian terbabit sekitar pukul 8.30 malam, Isnin daripada seorang guru di Kampung Ba Selulong melalui aplikasi WhatsApp.

“Lima daripada penumpang telah berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lelaki warga emas yang juga OKU masih hilang dan dikhuatiri lemas,” katanya.

Jelasnya, sebelum kejadian berkenaan ke semua penumpang sedang dalam perjalanan pulang dari Long Bedian ke Kampung Ba Selulong selepas ke Klinik Kesihatan dan membeli barang keperluan harian di pekan Long Bedian.

Usaha pencarian awal yang dilakukan penduduk kampung, bagaimanapun gagal menemukan mangsa sehingga hari ini.

Antara cabaran lain, katanya, operasi SAR hari pertama hanya dapat dilakukan pada Selasa selepas pihaknya mendapatkan bantuan Unit Udara Bomba menghantar anggota SAR dari Marudi ke lokasi kejadian menggunakan helikopter.

“Operasi mencari dan menyelamat tidak dapat dijalankan pada Isnin memandangkan perjalanan ke lokasi kejadian terletak di kawasan terpencil.

“Pasukan Bomba hanya dapat bergerak ke lokasi dengan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada pagi Selasa di mana pencarian diaktifkan pada pukul 12.30 tengah hari.

Tambahnya, pasukan penyelamat (SAR) turut dibantu penduduk kampung yang dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan menggunakan teknik Water Surface Searching melibatkan radius pencarian sejauh tiga kilometer dari lokasi perahu karam.

“Operasi pencarian amat mencabar memandangkan kawasan sungai berjeram dan berbahaya, selain tiada liputan telekomunikasi.

“Identiti mangsa yang hilang dikenali sebagai Jangin Luwau, merupakan seorang warga emas OKU dan tidak pandai berenang. Justeru, pencarian disambung semula pada hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN