Normal pertahankan artis kesayangan tapi jangan melampau - Ernie Zakri - Utusan Malaysia

Normal pertahankan artis kesayangan tapi jangan melampau – Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri tidak teragak-agak menegur tindakan melampau peminatnya yang mengeluarkan kata cacian di laman media sosial.

Bagi Ernie, 31, normal bagi mana-mana kelompok peminat untuk membela artis kesayangan mereka namun sekiranya ia dijadikan modal untuk mencetuskan perbalahan dengan kelompok peminat yang lain, itu bukanlah tindakan yang perlu didiamkan lagi.

“Saya faham peminat sangat menyayangi dan mahu mempertahankan artis mereka. Tak mengapa untuk rasa begitu kerana ia normal.

“Tapi sekiranya (pembelaan) itu bertukar menjadi perbalahan sampai caci maki, saya tak rasa ia bagus. Jika tindakan mereka melampau, saya akan menegur mereka.

“Peminat tak tahu kita sebenarnya mempunyai hubungan yang baik sesama rakan artis. Saya baik dengan semua penyanyi, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sidang media majlis menandatangani kontrak bersama Universal Music Malaysia.

Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu juga tenang menerima komen jahat yang mengatakan namanya berjaya membolosi kategori Penyanyi Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) 35 kerana diundi keluarga.

“Jika yang undi hanyalah ahli keluarga pun tak mengapa. Sebab hidup saya bukan pertandingan. Tercalon untuk top 5 ABP bukan saya yang buat. Itu semua berkat sokongan peminat.

“Saya hargai usaha mereka sebab itu saya berterima kasih kepada mereka. Mereka siap ada jadual untuk buat undian. Disukai orang bukanlah sesuatu yang mudah,” tambahnya.

Ernie turut menegaskan, kehadirannya di dalam industri bukanlah untuk menjadi bahan perbandingan dengan mana-mana artis.

Niatnya menjejakkan kaki ke dalam industri seni hanyalah demi cintanya kepada muzik dan nyanyian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN