NGO minta henti bina jalan baharu Habu-Tanah Rata - Utusan Malaysia

NGO minta henti bina jalan baharu Habu-Tanah Rata

kekurangan parkir di Kea Farm yang menjadi punca kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands. – UTUSAN/IHSAN REACH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan diminta menghentikan cadangan pembinaan jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands di sini yang menelan kos RM480 juta kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan pelancongan itu.

Gesaan itu dibuat oleh Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) yang menyifatkan cadangan itu dibuat tanpa kajian dan mendapatkan pandangan umum di lapangan kerana laluan Habu ke Tanah Rata bukan punca atau lokasi berlakunya kesesakan lalu lintas.

Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, kesesakan lalu lintas berlaku di Kea Farm, di­sebabkan masalah kekurangan parkir yang serius di situ.

Menurutnya, selagi masalah parkir di Kea Farm tidak diselesaikan, selagi itulah kesesakan lalu lintas akan menjadi masalah yang serius yang dihadapi oleh pelancong.

“Laluan Habu ke Tanah Rata bukan punca kesesakan, di situ tidak berlaku kesesakan pun kerana ia kurang kawasan pelancongan.

“Jika jalan baharu Habu ke Tanah Rata dibina sekali pun, ia tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan trafik. Punca sesak ialah di Kea Farm yang kurang parkir.

“Pembinaan jalan baharu ini ibarat ‘tempat lain yang sakit, tempat lain yang diubat’, tempat lain yang sesak, tempat lain yang dibina jalan baharu.

“Reach berharap kerajaan menghentikan pembinaannya dan berharap Perdana Menteri yang mengumumkan projek ini semasa pembentangan Bajet 2023, melihat perkara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan kajian Reach, kesesakan trafik disebabkan kekurangan parkir yang serius di Kea Farm, yang menjadi lokasi tumpuan utama pelancong di tanah tinggi itu.

Beliau berkata, pada 2012, sudah ada peruntukan RM30 juta membina satu kawasan ‘bisnes park’ di Kea Farm iaitu pembinaan parkir bertingkap, kedai-kedai perniagaan dan semua kemudahan asas untuk pelancong.

Katanya, namun rancangan itu tidak dilaksanakan.

“Reach mencadangkan supaya rancangan pembinaan ‘bisnes park’ itu dilaksanakan untuk kemudahan pelancong meletak kenderaan mereka di Kea Farm.

“Sekarang mungkin kos pembinaan ‘bisnes park’ itu sudah meningkat, daripada RM30 juta pada 2012, sekarang mungkin RM120 juta.

“Namun itu sudah menjimatkan wang kerajaan RM260 juta berbanding jika pembinaan laluan baharu dari Habu ke Tanah Rata yang menelan kos RM480 juta,” katanya.

Dilip Martin juga mendakwa pembinaan laluan baharu Habu ke Tanah Rata memberi impak terhadap alam sekitar.

“Laluan Habu ke Tanah Rata sepanjang kira-kira tujuh kilo­meter dan pembinaannya laluan baharu di situ melibatkan pemotongan bukit, kita juga akan kehilangan Gunung Cantik yang kaya dengan flora dan fauna selain akan terkena kawasan tadahan air Habu.

“Jadi Reach memohon kerajaan, Perdana Menteri melihat semula cadangan pembinaan jalan baharu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya