Nahas bas persiaran: Mangsa dengar bunyi dentuman kuat

Nahas bas persiaran: Mangsa dengar bunyi dentuman kuat

KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kereta di Kilometer 285.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), dekat Nilai, Seremban. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang ahli keluarga mangsa yang terselamat dalam nahas bas di Kilometer 285.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, pagi tadi memberitahu, dentuman kuat telah mengejutkan abangnya, Muhammad Amin Abu Bakar, 51, dan penumpang lain yang ketika kejadian sedang tidur.

Muhammad Rahmatullah Abu Bakar, 45, berkata, ketika kejadian abangnya yang merupakan warga India itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras dari Singapura.

Jelasnya, abangnya itu sudah 10 tahun bekerja di Singapura sebagai tukang masak dan kerap berulang-alik menaiki pengangkutan awam itu dari Tuas, Singapura untuk pulang ke ibu negara.

“Abang saya kemungkinan akan ditahan di wad berikutan kesan luka di tangannya yang agak dalam namun keadaannya stabil. Saya juga semasa lalu di kawasan kejadian sekitar pukul 7.30 pagi sempat melihat keadaan bas yang remuk teruk di bahagian depan kanan dan saya bimbang melihat keadaan itu.

“Abang saya maklum, dia antara yang duduk di bahagian depan bas dan hanya tersedar sebaik sahaja terdengar bunyi dentuman kuat. Semua barang yang berada di kocek hadapan baju abang termasuk pasport tercampak keluar dan hingga kini tidak ditemukan lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah bas persiaran dan sebuah kereta.

Menurutnya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah bas persiaran yang membawa 20 orang penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di lokasi bas disyaki terbabas melanggar tiang jambatan di kanan lebuh raya sebelum berpusing ke kiri dan melanggar sebuah kenderaan yang berada di lorong kiri lalu terbabas masuk ke bahu kiri jalan.

“Dua orang mangsa iaitu pemandu bas, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dan seorang penumpang bas iaitu wanita warganegara Indonesia berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Lima orang penumpang bas dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala 13 orang penumpang lain mengalami cedera ringan. Seorang penumpang kereta jenis Proton Wira mengalami cedera ringan manakala pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pecahan mangsa penumpang bas termasuk pemandu mengikut warganegara adalah lima warganegara Malaysia, empat Indonesia, Singapura (tiga), Kanada (dua), Filipina (tiga), masing-masing seorang dari China, Sepanyol dan India.

“Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke HTJ untuk menerima rawatan lanjut manakala dua orang yang maut dibawa ke hospital yang sama bagi proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN