PETALING JAYA: Penyanyi tersohor, Datuk Sheila mendedahkan terpaksa menolak tawaran beberapa stesen televisyen yang menawarkan kerusi juri bagi program-program realiti sebelum ini.
Jelasnya, penolakan tersebut adalah berpunca daripada kesibukannya memenuhi jadual persembahan selain tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak yang sedang membesar.
Malah dalam pada masa yang sama juga, ibu kepada empat orang anak itu enggan terikat dengan komitmen jangka masa panjang sehingga dia terpaksa menolak tawaran-tawaran persembahan dalam dan luar negara.
“Selalunya program realiti atau seumpamanya akan berlangsung lebih dua bulan. Ada yang tiga bulan dan kebiasaannya di hujung minggu, ketika saya bekerja memenuhi persembahan.
“Tidak adil jika saya terpaksa ‘lari’ sekejap untuk buat persembahan di tempat lain sehingga ada orang lain perlu ambil alih tugas itu. Tidak adil untuk produksi dan peserta.
“Lebih baik saya tolak dengan baik, supaya tidak menyukarkan kerja mana-mana pihak,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Penyanyi tersebut ditemui dalam acara yang menyaksikan McDonald’s Malaysia meraih pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi paparan ‘Kentang Goreng Tertinggi di Malaysia’ di Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Penghibur kesayangan ramai itu memeriahkan majlis dengan mendendangkan tujuh lagu termasuk Dia serta Antara Anyer & Jakarta.
Dalam pada itu, Sheila berkata, keengganannya untuk menjadi juri buat masa ini bukan juga kerana risau jika segelintir netizen mengecam cara penjuriannya yang mungkin berbeza.duduk di kerusi juri.
“Buat masa ini, komitmen saya masih banyak. Biar saya sempurnakan satu persatu dulu,” kongsinya.










