PETALING JAYA: Ketua Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Negeri Sembilan, Mohamed Hafis Baharuddin dilucut jawatannya selepas bertindak mendaftarkan diri sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 12 Ogos ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Mohamed Hafis digugurkan selepas mendaftarkan diri sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan bakal menentang calon daripada Perikatan Nasional (PN), Ahmad Raihan Muhamad Hilal.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasmi telah mengarahkan semua pemimpin Proklamasi Orang Melayu untuk terus menyokong calon-calon PN pada PRN ini kerana tidak mahu undi orang-orang Melayu pecah dan akhirnya keputusan kemenangan memihak pada calon-calon Pakatan Harapan (PH).
“Pendirian Proklamasi Orang Melayu amat tegas dan walaupun pemimpin-pemimpin kami gagal untuk mendapatkan sebarang kerusi di bawah PN, namun mempunyai satu matlamat penting bersama PN untuk kalahkan semua calon-calon PH yang bertanding di enam negeri-negeri yang terbabit dengan PRN kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, PRN yang bakal diadakan pada 12 Ogos ini akan melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Khairuddin berkata, pihaknya mahu memastikan pertandingan di dalam PRN adalah berteraskan satu lawan satu iaitu di antara PN dengan PH-Barisan Nasional.
Sehubungan itu, pihaknya kecewa dengan tindakan diambil oleh Mohamed Hafis yang enggan mematuhi nasihat Dr. Mahathir dan prinsip konsensus Proklamasi Orang Melayu.
“Sukacita dimaklumkan bahawa Mohamad Jani Ismail dipilih sebagai Ketua Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu peringkat Negeri Sembilan berkua tkuasa serta-merta bagi menggantikan beliau.
“Kami amat kesal dengan dengan mana-mana pemimpin Proklamasi Orang Melayu yang mengingkari nasihat Dr. Mahathir dan prinsip mahupun pendirian Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu Pusat untuk terus menyokong semua calon-calon PN,” katanya. – UTUSAN