Minyak masak terpakai boleh tambah sumber pendapatan

Minyak masak terpakai boleh tambah sumber pendapatan

FADILLAH YUSOF pada majlis pelancaran program pengumpulan minyak masak terpakai, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan komited membangunkan industri sawit negara dengan menambah baik kehidupan pengusaha, pekebun kecil dan rakyat melalui pengumpulan minyak masak terpakai sebagai satu sumber pendapatan tambahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu amat penting tatkala industri sawit negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, kementerian dengan kerjasama Petronas melaksanakan program pengumpulan minyak masak sebagai salah satu sumber bahan mentah utama menghasilkan biobahan api penerbangan lestari atau sustainable aviation fuel (SAF).

“Inisiatif ini bukan sahaja mampu menyahut aspirasi matlamat kelestarian, malah memberi impak positif kepada harga minyak sawit dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“Seperti sedia maklum, minyak masak yang dipakai untuk menggoreng berulang kali tidak disarankan untuk terus digunakan kerana boleh memudaratkan kesihatan,” katanya pada majlis pelancaran program pengumpulan minyak masak terpakai, di sini hari ini.

Justeru, katanya, minyak masak terpakai tersebut perlu diuruskan dengan baik dan tidak dibuang ke dalam singki atau longkang atau dibungkus ke dalam plastik dan dimasukkan ke tong sampah.

Fadillah berkata, tindakan ini akan menyebabkan berlakunya insiden paip tersumbat yang akhirnya memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih.

Menurutnya, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menjadikan amalan kitar semula minyak masak terpakai sebagai salah satu langkah bijak dalam menguruskan sisa.

“Minyak masak terpakai sebenarnya berupaya diproses semula menjadi produk baharu yang bernilai tinggi dan seterusnya membuka peluang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah,” katanya.

Katanya, buat permulaan, pusat pengumpulan ini akan bermula di Stesen Petronas 1, Presint 9, Putrajaya; Stesen Petronas Subang Bestari dan Stesen Petronas Kota Kemuning 1, Shah Alam.

Jelasnya lagi, pusat pengumpulan ini seterusnya akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat ke stesen-stesen Petronas terpilih.

Orang ramai yang berminat untuk menghantar minyak masak terpakai boleh mengunjungi ketiga-tiga stesen Petronas untuk ditimbang sebelum kredit diberikan menerusi aplikasi Setel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN