Merajuk lari ke dalam hutan, kanak-kanak 11 tahun selamat

Merajuk lari ke dalam hutan, kanak-kanak 11 tahun ditemukan selamat

OPERASI SAR mencari kanak-kanak hilang di hutan yang ditemukan selamat malam tadi.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang semasa melarikan diri ke dalam hutan di Kampung Dudar ditemukan dalam keadaan selamat malam tadi.

Mangsa yang dilaporkan hilang sejak petang Ahad itu ditemukan oleh orang awam pada pukul 9.30 malam tadi dan diserahkan kepada ahli keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian orang hilang di hutan pada pukul 7.54 pagi semalam dan sepasukan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak pada jarak 42 kilometer.

Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, keluarga mangsa memaklumkan, kanak-kanak itu melarikan diri dari rumah pada Ahad susulan pergaduhan antara mangsa dan adiknya yang berusia 10 tahun.

Pada awalnya, keluarga mangsa menyangka kanak-kanak tersebut hanya merajuk sekejap dan akan kembali semula ke rumah seperti dalam kejadian sebelum ini.

“Mangsa difahamkan telah pulang ke rumah pada 3.30 pagi semalam tapi, mangsa bertindak melarikan diri semula ke dalam hutan kerana mendapati terdapat ahli keluarga lain di rumah.

“Walau bagaimanapun, mangsa ditemukan oleh orang awam dalam keadaan selamat pada pukul 9.30 malam tadi dan telah diserahkan kepada keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli keluarga cuba mengejar kanak-kanak itu ketika dia pulang ke rumah pada pagi semalam namun, tidak berjaya mengejar mangsa yang hilang dari pandangan pada jarak 300 meter dari kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Dudar.

Jelas beliau, rumah mangsa yang terletak berhampiran dengan sekolah memang dikelilingi kawasan hutan.

Muhammad Syazwan berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 10.30 malam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN