SARIKEI: Mana-mana lantikan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan secara tetap yang ditempatkan untuk bertugas ke fasiliti kesihatan di Sarawak digesa untuk melapor diri terlebih dahulu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni mendedahkan masih ramai rayuan daripada lantikan tetap pegawai perubatan Kementerian Kesihatanyang enggan melapor diri ketika diarahkan bertugas ke Sarawak.
“Kita (Kementerian Kesihatan) juga menghadapi isu berkenaan dengan lantikan tetap ini yang masih merayu untuk tidak datang ke Sarawak.
“Cuma saya mencadangkan di peringkat negeri Sarawak bagi yang berminat untuk bertugas berkhidmat di sini, ataupun mana-mana rakan-rakan kita dari Sabah atau Semenanjung Malaysia yang telah berkhidmat secara kontrak di Sarawak bolehlah diberikan satu keistimewaan agar mereka mendapat lantikan tetap (bagi yang telah berkhidmat tiga tahun ke atas).
“Ini kerana saya merasakan perkara ini sangat wajar untuk menarik lebih ramai pegawai-pegawai perubatan yang ingin berkhidmat.
“Bagi yang telah berkhidmat sedia ada, kita rasa agak sesuai untuk kita beri penghargaan untuk melantik, dan memberi mereka semangat untuk mereka kekal beberapa tahun dan seterusnya memohon untuk keluar ke negeri masing-masing,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerjanya ke Hospital Sarikei, Sarawak di sini hari ini.
Tambahnya lagi, baru-baru ini kerajaan telah bersetuju meneruskan lantikan kontrak bagi pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara berfasa sehingga tahun 2025.
“Ketika ini kerajaan secara rasmi dan dasarnya telahpun mengumumkan bahawa lantikan kontrak akan diteruskan secara berfasa oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sehingga tahun 2025, dan juga pada tahun ini hampir 4,300 lantikan telah dibuat dan akan ada lagi lantikan tambahan akan dibuat di fasiliti-fasiliti yang baru.
“Justeru itu, saya berharapan besar agar mereka yang dilantik ini dapat melapor diri terlebih dahulu ke negeri ini (Sarawak), ataupun dan mana-mana negeri seluruh Malaysia yang ditawarkan, supaya pihak Kementerian Kesihatan dapat mengenal pasti dimana kekurangan dan juga lebihan tenaga kerja tersebut untuk kita aturkan.
“Pada masa yang sama tidak membebankan pegawai-pegawai lantikan kontrak dan juga kita ingin memastikan proses keluar dan masuk pegawai perubatan di setiap hospital dapat menjaminkan perkhidmatan yang baik di setiap fasiliti Kementerian Kesihatan,” jelasnya.
Dedahnya lagi, Sarawak masih memerlukan pegawai perubatan untuk mengisi kekosongan di fasiliti-fasiliti kesihatan yang sedia ada dan baru. Katanya, bilangan pegawai perubatan ada ketika ini adalah sebanyak 2,742 orang.
“Daripada jumlah itu, 1,581 merupakan pegawai lantikan tetap, dan 1,661 lantikan kontrak, dan juga sebanyak 1,180 kekosongan jawatan masih perlu diisi.
“Jumlah daripada 1,180 ini akan kita usahakan agar dapat diisi menjelang penghujung Julai dan seawal Ogos iaitu terdapat pegawai lantikan kontrak yang telah mendapati lantikkan tetap akan datang secara berfasa,” katanya.-UTUSAN