KUALA LUMPUR: Seramai 37,426 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dalam dan luar negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua pelajar tersebut meraih purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 2.00 ke atas menyumbang kepada purata gred tertinggi dalam sejarah peperiksaan iaitu 2.82 berbanding 2.79 tahun lalu.
Beliau turut berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan pelajar B40.
“Insya-Allah, mereka akan melanjutkan pelajaran lebih tinggi khususnya universiti dalam dan luar negara. Malah, sebanyak 89.72 peratus atau 37,414 calon adalah pelajar B40 dan 1,009 calon B40 mendapat gred 4.00.
“Tahniah anak-anak B40 kerana STPM mengangkat pelajar ini dan boleh melakukan perubahan dan soal kejayaan akses pendidikan tidak pernah dipinggirkan,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM hari ini.
Katanya, pencapaian calon STPM 2022 juga membuktikan pelajar tingkatan enam mampu mencapai kejayaan.
“Tahniah kepada semua guru STPM yang memberikan khidmat sehingga anak-anak berjaya dengan cemerlang. Kita nafikan banyak persepsi bahawa STPM sukar…STPM hanya untuk pelajar tak dapat masuk universiti.
“Semua ini kita sangkal kerana kita memastikan bahawa STPM cukup prestij dan ruang akses kepada anak menyambung pelajaran serta meyakinkan ibu bapa bahawa sijil ini bukan peluang kedua, tapi peperiksaan prestij diiktiraf Cambridge,” katanya.
Katanya, lepasan STPM mempunyai banyak kelebihan antaranya tidak perlu mengambil A Level kerana sijil itu juga diiktiraf di luar negara.
“Saya melihat testimoni dan pengalaman bahawa ada pelajar yang berjaya menggunakan STPM untuk menyambung Singapura, Taiwan Rusia, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman, Turki dan Indonesia serta negara lain.
“Lebih menarik, pelajar boleh pindah jam kredit sekiranya guna STPM, jadi STPM ini bukan pelajar sekolah, mereka adalah pelajar pra-universiti.
“Ia menunjukkan STPM bukan sahaja menyediakan keperluan akademik tetapi lebih penting menyediakan insan yang memenuhi keperluan dalam negara khususnya kepakaran dan sumbangan besar selepas ini,” katanya.-UTUSAN