SEGAMAT: Pemandu lori tangki warga emas yang melanggar lampu isyarat merah menjadi punca utama mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki dalam kemalangan maut di simpang empat lampu isyarat, KM 138.3, Jalan Johor Bahru-Seremban, Pekan Chaah, di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori tangki yang dipandu warga emas berusia 62 tahun itu dengan sebuah bas henti-henti berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu lori tangki jenis Scania yang datang dari arah Segamat menghala ke arah Johor Bahru.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, lori tangki itu dipercayai gagal mematuhi isyarat lalu lintas atau langgar isyarat merah telah melanggar bahagian sebelah kanan bas yang sedang keluar dari simpang empat untuk menghala ke arah Segamat.
“Dalam kemalangan ini, seorang penumpang bas iaitu seorang kanak-kanak lelaki, Iswaran Muniandi berusia 10 tahun, telah meninggal dunia.

“Tiga lagi mangsa iaitu dua penumpang wanita berusia 23 dan 49 tahun, dan seorang pemandu bas berusia 59 tahun, cedera parah dan kini dirawat di wad kecemasan Hospital Segamat,” katanya ketika ditemui di IPD Segamat hari ini.
Sementara itu, tambahnya, pemandu lori tangki itu turut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, juga sedang dirawat di hospital sama.
“Semasa kejadian, Iswaran dipercayai duduk di bahagian tengah sebelah kanan bas bersama ibunya iaitu mangsa yang berusia 49 tahun. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa terima rawatan di Klinik Chaah.
Ahmad Zamry berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis Daerah Segamat memohon saksi awam yang mempunyai maklumat kemalangan boleh salurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat ditalian 07-9325811,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labis, Pegawai Bomba Kanan (PBK 11) Hairishah Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 7.13 pagi.
“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas Hino henti-henti membawa tiga orang penumpang,” – UTUSAN










