IPOH: Umat Islam hendaklah bersedia malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya agar berupaya memahami isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, umat Islam juga harus bertenaga menangani dan menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang pesat berlaku.
Baginda bertitah, ini kerana cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda, perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar.
Titah baginda, penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan.
“Ia memerlukan minda yang berani menerokai pengetahuan, kemahiran, medium dan kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman.
“Penghijrahan budaya merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang, budaya lapuk, digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam.
“Penghijrahan adalah suatu jihad dan orang yang berhijrah di jalan Allah akan memperoleh kejayaan dan kemudahan hidup yang lebih baik,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak di sini semalam.

– UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Sementara itu di Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang dengan sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian.
Baginda bertitah, Malaysia dan Terengganu secara umumnya mempunyai masyarakat berbilang agama, kaum, budaya dan bangsa.
“Dengan kepelbagaian yang unik ini, beta menyeru supaya seluruh rakyat sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam di dalam negeri Terengganu supaya saling hormat-menghormati atas kepelbagaian ini.
“Semua pihak perlu menjaga keharmonian dan perpaduan dengan tidak menimbulkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa yang kesannya menyebabkan perpaduan dalam kalangan rakyat jelata semakin jauh,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar umat Islam tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda mengharapkan agar umat Islam sentiasa hidup dalam keadaan bersatu padu dan menjaga keharmonian bersama.
“Antara salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat adalah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu serta tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh,” titah baginda. – UTUSAN










