PETALING JAYA: Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyeru seluruh pengundi dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini menunjukkan sokongan terhadap Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kit Siang berkata, sokongan tersebut perlu bagi memastikan Malaysia berada dalam kalangan 25 negara yang paling kurang korup.
Kata beliau, ia akan memastikan kedudukan negara yang ketika ini berada di tempat ke-61 menaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) keluaran Transparency International (TI) mengatasi Bhutan, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu dan beberapa negara lain.
“Sekiranya sasaran ini berjaya, ia akan menjadi keputusan terbaik Malaysia dalam TI CPI yang diterbitkan setiap tahun dalam tiga dekad yang lepas.
“Sebelum ini, kedudukan terbaik Malaysia adalah di tempat ke-23 dari 41 buah negara dalam siri pertama TI CPI pada tahun 1995.
“Sejak dari siri pertama ini, jumlah negara yang ditinjau telah meningkat kepada 180 buah negara dan kedudukan Malaysia terus merosot sehingga ke tempat ke-61 pada tahun 2021 dan tempat ke-21 pada tahun 2022,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, misi menawan enam negeri bermula hari ini apabila 245 kerusi menjadi rebutan calon-calon parti politik yang bertanding pada PRN 12 Ogos ini.
Dianggarkan kira-kira 500 calon melibatkan Pakatan Harapan (PH), BN, Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas menghantar borang pencalonan masing-masing hari ini.
Ini meliputi 56 kerusi Selangor diikuti 45 kerusi Kelantan, Kedah dengan 36 kerusi, Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36) dan Terengganu (32).
Kit Siang yang juga bekas Pengerusi DAP itu berkata, perbuatan rasuah bertentangan dengan ajaran semua keagamaan dan nilai etika semua agama-agama dunia serta falsafah hidup.
“Memandangkan semua agama dan falsafah utama mengecam rasuah, amatlah bertepatan serta bersesuaian untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kawasan, untuk bersatu padu dan menyokong Ekonomi Madani Anwar untuk menjadikan Malaysia salah satu negara terbaik dunia dalam memerangi rasuah,” katanya. – UTUSAN