KLANG: Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) mengekalkan prestasinya dalam pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila mencatatkan jumlah calon paling ramai memperoleh keputusan gred 4.00 dalam sejarahnya, iaitu 13 orang.
Pengetua KISAS, Kamarul Ariffin Mohd. Shah berkata, ia sebuah kejayaan membanggakan kerana sebelum ini, rekod paling ramai yang pernah diperoleh mereka cuma empat calon sahaja pada tahun 2020.
“Secara keseluruhan, seramai 79 pelajar yang menduduki STPM pada tahun lalu. Insya-Allah kalau ada rezeki, kita boleh memecahkan rekod tahun lepas pada tahun ini. Tetapi, ini semua keizinan Allah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2022, hari ini.
Beliau menambah, selain peningkatan jumlah calon cemerlang, gred purata peperiksaan itu turut mencatatkan peningkatan kredit sebanyak 0.13, iaitu 3.46 berbanding 3.33 pada STPM 2021.
“Ini semua hasil usaha daripada semua guru Tingkatan 6 yang membuatkan KISAS menggapai pencapaian pada kali ini. Bagaimanapun, terdapat beberapa mata pelajaran seperti Usuluddin dan Sejarah mencatatkan penurunan gred.
“Kita akan berusaha lebih keras untuk meningkatkan gred bagi mata pelajaran ini, demi kebaikan sekolah dan pelajar itu sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang STPM 2022, Muhammad Izzul Irfan Mohd. Hazib berkata, usaha kerasnya sepanjang satu tahun setengah menduduki pengajian akhirnya membuahkan hasil sehingga beliau memperoleh gred 4.00.
Menurutnya, beliau bercadang untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti yang menawarkan jurusan bahasa Arab supaya impiannya untuk menjadi guru bahasa Arab tercapai. – UTUSAN










