Kewajipan Kerajaan Persekutuan bantu semua negeri

Kewajipan Kerajaan Persekutuan bantu semua negeri – Tuan Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berdasarkan amalan sistem federalisme, sudah menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan membantu pembangunan Kerajaan Negeri tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat mengagihkan kutipan cukai yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan di negeri-negeri dikategorikan sebagai tidak maju.

“Jika masih ingat ketika zaman pentadbiran PN (Perikatan Nasional) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami memperkenal Dasar Kemakmuran Bersama.

“Ia antara lainnya untuk memperkukuh lagi sistem federalisme di negara dengan membantu Kerajaan Negeri dalam pelbagai sudut termasuk pembangunan tanpa diskriminasi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Ke­rajaan Perpaduan di bawah pimpinannya tidak pernah mendiskriminasi negeri­ yang diterajui Pas.

Menurut Anwar, su­dah banyak peruntukan diberi­kan oleh kerajaan perpaduan kepada Kelantan dan Perlis, malah jumlah peruntukan yang pernah diberikan adalah lebih banyak berbanding Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kelantan sering hadapi ban­jir, kita lulus beberapa projek ba­haru dan jumlahnya mencecah nilai bilion ringgit,” katanya.

Jelas beliau, apa yang diumumkan Perdana Menteri kepada Kelantan tiada yang baharu sebaliknya hanya meneruskan komitmen kerajaan terdahulu.

“Ketika saya menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air kita dah umumkan beberapa projek tebatan banjir di Kelantan termasuk di Sungai Golok. Jadi tiada apa yang baharu diumumkan Perdana Menteri.

“Apa pun terima kasihlah kerana sambung projek ini,” katanya.

Sementara itu di KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli tidak menafikan peranan Kerajaan Pusat khususnya dalam aspek peruntukan di negeri itu, namun, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti gambar Menteri Besar tidak digantung di jabatan-jabatan pendidikan, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) tidak dibenarkan merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan beliau sendiri tidak dijemput ke majlis-majlis kerajaan khususnya.

Selain itu katanya, mereka juga sukar mendapat kerjasama daripada Jabatan Penerangan khususnya dari aspek menggunakan kemudahan jabatan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN