PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun pengguna TikTok di negara ini termasuk milik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tiada kuasa berbuat demikian kerana media sosial itu dimiliki oleh Bytedance.Ltd iaitu sebuah firma teknologi dari China.
Katanya, TikTok sama seperti platform media sosial lain yang tertakluk dengan peraturan ditetapkan oleh pemiliknya.
“Kalau TikTok terima banyak report (laporan) dan aduan oleh pengguna lain, maka TikTok akan ban (sekat) la akaun yang menjadi isu itu. Kiranya yang ban TikTok kita ialah public (awam) bukannya kerajaan. Public buat aduan dan TikTok ban.
“Hari ini MB Kedah kata content (kandungan) TikTok dia kena padam. Dia kata Malaysia dah jadi Korea Utara! Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yang buat, kita pun banyak kerja lain,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa akaun TikTok miliknya hanya boleh diakses di luar negara dan bukannya dalam Malaysia.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pas itu mendakwa akaun TikTok yang mempunyai lebih 432,600 pengikut tidak boleh diakses kerana dipercayai disekat.
“’Darai’ dah ‘barai’,” katanya ringkas sambil menunjukkan tangkap layar akaun TikTok miliknya dipadam dalam melalui hantaran ringkas di Facebook.
Ekoran itu, beliau terpaksa membuat akaun baharu setelah akaun sedia ada disekat oleh pihak berkenaan semalam.
Muhammad Sanusi dalam ceramah umum di Sik, Kedah berkata, akaun TikToknya dipadam menyebabkan penjelasan berkenaan fitnah-fitnah atas dirinya tidak dapat dimuat naik.
“Baru nak popular habislah la. Kita tak boleh masuk TV (televisyen), mereka tak bagi. Kita tak boleh masuk radio. Boleh masuk TikTok dan Facebook saja,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan PH-BN yang menerajui kerajaan persekutuan seperti Korea Utara, menyekat kebebasan media. – UTUSAN










